Subsidi Padi Sebanyak RM2.62 Bilion Belum Cukup Bebaskan Malaysia Dari Cengkaman Import Beras

Subsidi Padi Sebanyak RM2.62 Bilion Belum Cukup Bebaskan Malaysia Dari Cengkaman Import Beras

Sejauh manakah peruntukan yang begitu besar ini berjaya meningkatkan produktiviti pesawah dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import?

SHARE

Persoalan mengenai hala tuju keterjaminan makanan negara terus menjadi perdebatan hangat di Dewan Rakyat apabila peruntukan besar berjumlah RM2.62 bilion yang disediakan kerajaan bagi subsidi padi dan insentif pesawah didakwa masih belum mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah kebergantungan negara terhadap bekalan beras import. Mengulas isu tersebut semasa Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perladangan dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Willie anak Mongin, Ahli Parlimen Puncak Borneo, membangkitkan pelbagai persoalan kritikal yang menyentuh nasib pesawah serta masa depan industri agromakanan.

Keberkesanan Peruntukan RM2.62 Bilion dan Sasaran Tahap Sara Diri

Beliau mengalu-alukan peruntukan besar tersebut, namun menegaskan bahawa dana sebanyak itu bersamaan dengan nilai anggaran sekitar 770,000 tan metrik beras sekiranya dinilai pada harga RM34 bagi sekampit sepuluh kilogram. Berdasarkan data pengeluaran tahun 2025, Malaysia hanya menghasilkan kira-kira 1.434 juta tan metrik beras, manakala import pula mencecah sekitar 1.355 juta tan metrik. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pengeluaran domestik masih belum mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.

— YB Datuk Willie anak Mongin, Ahli Parlimen Puncak Borneo

Beliau mencadangkan agar kementerian melaksanakan pembaharuan melalui model subsidi hibrid. Model ini menggabungkan bantuan asas kepada pesawah dengan insentif tambahan berdasarkan hasil pengeluaran sebenar, dengan konsep mudah “produce more, earn more” atau ganjaran produktiviti dan bukannya sekadar berdasarkan penyertaan semata-mata. Konsep “dengling carrot” ini dilihat mampu memberi ganjaran kepada pesawah yang berjaya meningkatkan produktiviti walaupun menghadapi pelbagai faktor luar jangka seperti cuaca buruk, pengairan, dan risiko banjir.

Peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Model Operasi FAMA

Selain isu subsidi padi, YB Datuk Willie anak Mongin turut membangkitkan persoalan mengenai peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang masih memerlukan suntikan dana kerajaan secara berterusan walaupun sudah lama beroperasi. Sebagai sebuah agensi pemasaran pertanian utama, FAMA seharusnya mempunyai model operasi yang mampan untuk menjana pendapatan sendiri.

Beliau menuntut penjelasan terperinci daripada kementerian mengenai produk pertanian yang telah berjaya dipasarkan oleh FAMA sehingga menembusi pasaran eksport, jumlah pendapatan tahunan agensi tersebut daripada aktiviti perniagaan, serta kadar pendapatan sendiri berbanding bantuan kerajaan yang diterima. FAMA disaran supaya berfungsi sebagai pemacu yang membuka pasaran serta meningkatkan nilai tambah agar petani mampu memperoleh pendapatan yang lebih lumayan.

Penurunan Peruntukan Industri Tanaman Ternakan dan Perikanan

Satu lagi isu besar yang disentuh dalam dewan ialah penurunan ketara peruntukan bagi butiran industri tanaman ternakan dan perikanan yang menyusut daripada lima juta kepada 3.7 juta pada tahun 2027, iaitu pengurangan sebanyak 26 peratus. Beliau menyifatkan penurunan ini sebagai satu langkah yang agak bercanggah dengan matlamat dasar negara yang ingin menekan kepentingan keterjaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada import.

Sektor ini amat memerlukan pengukuhan melalui bantuan input berkualiti tinggi, teknologi moden, pembangunan rantaian bekalan, serta pusat pengumpulan hasil yang melibatkan golongan belia dalam sektor agromakanan.

Di hujung perbahasannya, Ahli Parlimen Puncak Borneo itu merumuskan bahawa makanan bukan sekadar soal keselamatan fizikal, tetapi juga komponen asas kepada keadilan sosial untuk semua rakyat Malaysia, sambil berharap agar kementerian terus komited melaksanakan reformasi berpaksikan prestasi demi kemajuan sektor pertanian di Sabah dan Sarawak serta seluruh negara.