13 PERKARA DI BAWAH MA63 SELESAI, TUNTUTAN KERUSI PARLIMEN KINI DI PERINGKAT PERBINCANGAN TERPERINCI

13 PERKARA DI BAWAH MA63 SELESAI, TUNTUTAN KERUSI PARLIMEN KINI DI PERINGKAT PERBINCANGAN TERPERINCI

Antara tiga perkara yang dimuktamadkan sebagai selesai berikutan Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1/2024 pada 11 September lalu.

SHARE

​KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 daripada 26 perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dibincangkan menerusi platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) telah dikategorikan sebagai selesai setakat ini.

​Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Panglima Haji Amirzan Haji Mohd Ali memberitahu, daripada jumlah keseluruhan 26 perkara tersebut, tiga perkara dikategorikan sebagai selesai sebahagian, lima perkara belum selesai, manakala lima perkara lagi diangkat ke peringkat tertinggi untuk perbincangan antara Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.

​Menurut beliau, antara tiga perkara yang dimuktamadkan sebagai selesai berikutan Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1/2024 pada 11 September lalu merangkumi obligasi kewangan Persekutuan di bawah Senarai 3 (Senarai Bersama) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, pertambahan jawatan perkhidmatan awam di bawah Perkara 112, serta borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

​”Bagi isu pendidikan dan kesihatan pula, perkara tersebut telah dikategorikan sebagai selesai sebahagian atau interim. “

​”Manakala perkara berkaitan royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, Akta Wilayah Laut, duti stem dan hak negeri ke atas pelantar benua pula dirujuk kepada perbincangan peringkat tertinggi,” katanya.

​Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin mengenai perkembangan terkini rundingan MA63 dan garis masa pelaksanaan hak-hak Sarawak di Dewan Rakyat pada Isnin.

​Menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Puncak Borneo berhubung tuntutan kuota 35 peratus atau satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Datuk Seri Panglima Armizan menjelaskan bahawa Perdana Menteri telah menyatakan kewajaran untuk meningkatkan kadar nisbah ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.

​Jelasnya, isu berkenaan sedang dibincangkan secara serius dan teliti di peringkat MTPMA63 serta Jawatankuasa Teknikal.

​”Saya sendiri telah mengadakan perbincangan awal bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendapatkan input berkaitan tindakan yang perlu diambil.

​”Saya turut mencadangkan pembentukan jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan saya sendiri bagi memperincikan kaedah pelaksanaannya,” tambah beliau.

​Mengulas mengenai garis masa penyelesaian tuntutan, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited mempercepatkan penyelesaian semua perkara di bawah MA63.

​Bagaimanapun, ia tetap tertakluk kepada proses perundangan berkaitan serta kesediaan kerajaan negeri dari sudut operasi, sumber manusia dan kewangan sebelum sesuatu tuntutan dimuktamadkan sepenuhnya.