Batang Sadong Gesa Imbangan Antara Penguatkuasaan Undang-Undang Dan Kelangsungan Peniaga Kecil

Batang Sadong Gesa Imbangan Antara Penguatkuasaan Undang-Undang Dan Kelangsungan Peniaga Kecil

Adakah pemeriksaan sedia ada akan menilai kesesuaian bekas tersebut, dan bagaimana KKM memastikan pendekatan ini tidak membebankan peniaga kecil yang mungkin kurang pengetahuan teknikal?

SHARE

KUALA LUMPUR — Usaha memodenkan kawalan keselamatan makanan melalui Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Makanan 2026 perlu mengimbangi keperluan perundangan dengan realiti ekonomi peniaga kecil, khususnya di kawasan luar bandar Sarawak.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Puan Rodiyah binti Sapiee berkata, beliau menyambut baik pengenalan konsep Bahan Bersentuhan Makanan (Food Contact Materials) di bawah pindaan berkenaan kerana keselamatan makanan tidak hanya bergantung kepada bahan makanan itu sendiri, malah merangkumi bekas, pembungkusan dan perkakas penyediaan.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu melihat realiti di peringkat akar umbi di mana sektor makanan tidak formal dan penjaja luar bandar masih menggunakan bekas kegunaan umum atau pembungkusan tradisional, seperti penggunaan surat khabar bagi membungkus ikan terubuk masin yang amat popular di Sarawak.

“Persoalannya, bagaimana standard ini akan dikuatkuasakan di peringkat akar umbi? Adakah pemeriksaan sedia ada akan menilai kesesuaian bekas tersebut, dan bagaimana KKM memastikan pendekatan ini tidak membebankan peniaga kecil yang mungkin kurang pengetahuan teknikal?” katanya semasa menyertai perbahasan di Dewan Rakyat.

Rodiyah menjelaskan bahawa walaupun pindaan ini penting bagi memperkukuh penalti dan pelabelan, pelaksanaannya perlu dibuat secara adil dan berperingkat mengikut kapasiti sesebuah perniagaan.

Di Sarawak, ramai usahawan bermula secara kecil-kecilan dari rumah dengan menghasilkan produk tempatan seperti kek lapis, gula apong, keropok dan pelbagai makanan tradisional yang kini telah dipasarkan ke seluruh negara.

Beliau melihat pindaan tersebut mempunyai potensi besar untuk menjadi penggalak kualiti (quality booster) yang mampu meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka peluang pasaran eksport jika usahawan diberi bimbingan yang sewajarnya.

Bagi mengelakkan bebanan kos pematuhan secara mendadak seperti kos pembungkusan, pelabelan, pengujian dan dokumentasi, beliau meminta penjelasan KKM berhubung penyediaan tempoh peralihan, panduan teknikal, latihan serta bantuan pengujian atau insentif khas untuk PKS.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu kawalan jualan makanan dalam talian menerusi platform e-dagang dan media sosial seperti TikTok, Facebook, serta live commerce.

Beliau mendesak KKM memperjelas mekanisme kerjasama dengan platform digital bagi memantau dan menurunkan kandungan atau iklan yang melanggar peraturan keselamatan makanan, terutamanya bagi produk dari luar negara serta peniaga dari rumah tanpa premis fizikal.

Melihat kepada kekangan sumber manusia dan kapasiti makmal KKM, Rodiyah turut meminta gambaran jelas berhubung perancangan penambahan pegawai penguat kuasa, kepakaran teknikal, peruntukan khas, serta pengukuhan kerjasama rentas agensi bersama KPDN, PBT dan PDRM.

Mengulas lanjut mengenai aspek pelaksanaan di Sarawak, beliau menggesa KKM memastikan rundingan dan penyelarasan rasmi telah diadakan bersama Kerajaan Sarawak dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hubungan Persekutuan-Negeri.

“Kita mahu standard keselamatan makanan yang seragam tetapi pada masa yang sama mengambil kira realiti tempatan. Jangan sampai dasar yang baik di peringkat pusat menjadi terlalu sukar untuk dilaksanakan oleh penjaja kecil dan usahawan luar bandar,” tegas beliau sambil menyatakan sokongan penuh terhadap RUU berkenaan.