KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa untuk melihat semula pendekatan penempatan dan pengagihan tenaga kesihatan berasaskan keserasian beban kerja serta keperluan sebenar kawasan, dan bukannya semata-mata mengikut formula populasi penduduk.
Ahli Parlimen Betong, YB Dr. Richard Rapu menegaskan bahawa cabaran perkhidmatan kesihatan yang dihadapi di Sarawak mempunyai banyak persamaan dengan Sabah, terutamanya dari segi keluasan geografi, kekurangan tenaga pakar, infrastruktur yang daif, serta kesukaran akses rawatan.
Beliau berkata demikian semasa menyokong pembentangan Penyata DR. 30 Jawatankuasa Pilihan Kesihatan mengenai Lawatan Kerja ke Sabah berhubung Pengukuhan Penyampaian Perkhidmatan dan Fasiliti Kesihatan di Dewan Rakyat.
“Persoalannya, sampai bila rakyat di pedalaman Sarawak dan Sabah perlu menempuh perjalanan ratusan kilometer hanya untuk mendapatkan rawatan asas? Realitinya, masih ada yang terpaksa melintasi jalan balak, jalan luar bandar, malah ada yang hanya boleh dihubungi melalui helikopter untuk sampai ke hospital atau klinik,” katanya.
Menurut beliau, kekurangan doktor pakar dan tenaga kesihatan di kawasan pedalaman seperti Hulu Rejang, Hulu Baram, Betong, Sri Aman, dan Luar Lubok Antu kekal kritikal. Malah, beliau mendedahkan situasi di Betong di mana daripada 15 doktor yang keluar, hanya tiga pengganti baharu diterima, menyebabkan defisit sebanyak 12 orang doktor.
Menyentuh mengenai desentralisasi pengurusan kesihatan dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), YB Betong turut mempersoalkan wujudnya ruang bagi Kerajaan Sarawak mengambil peranan lebih besar dalam perancangan, pengurusan, dan pembangunan infrastruktur kesihatan bagi mengelakkan birokrasi panjang di peringkat Persekutuan.
“Rakyat Sarawak tidak meminta layanan istimewa. Apa yang kita tuntut ialah keadilan dalam akses kepada perkhidmatan kesihatan. Rakyat di pedalaman mempunyai hak yang sama untuk mendapatkan rawatan berkualiti, tepat pada masanya, dan penuh bermaruah sama seperti rakyat di bandar-bandar besar,” tegas beliau.
Beliau berharap agar syor-syor dalam penyata laporan berkenaan tidak sekadar menjadi dokumen di arkib Parlimen, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan nyata, peruntukan dana, dan pelaksanaan projek demi keselamatan serta nyawa rakyat.















