KUALA LUMPUR, 9 Okt — Kerajaan Persekutuan terus komited memastikan setiap projek pembangunan yang diumumkan dilengkapi dengan peruntukan, garis masa serta mekanisme pemantauan yang ketat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan inklusif di Sarawak serta seluruh negara.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Kementerian Ekonomi bagi menjawab soalan lisan daripada Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Anak Brodi pada Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas 2026.
Dato’ Sri Doris Sophia menerusi soalan berkenaan meminta Menteri Ekonomi menyatakan mekanisme jelas Kerajaan bagi memastikan setiap pengumuman projek pembangunan disertakan dengan peruntukan, garis masa, sasaran pelaksanaan dan agensi bertanggungjawab, agar tidak berakhir sekadar pengumuman tanpa pelaksanaan.
Pengurusan Projek Melalui RMK13 dan Rolling Plan
Menurut jawapan rasmi Kementerian Ekonomi, Kerajaan menggunakan mekanisme perancangan dan penilaian teratur di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026–2030 menerusi proses Rolling Plan.
Bagi perancangan tahun 2027, Kementerian Ekonomi mengesahkan telah menerima sebanyak 9,955 cadangan projek baharu dan sambungan yang melibatkan nilai keseluruhan kos RM944 bilion, dengan keperluan siling sasar sebanyak RM80.4 bilion untuk dipertimbangkan.
“Sesi libat urus bersama kementerian, Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan turut diadakan bagi menentukan senarai keutamaan projek berdasarkan keperluan setempat serta keupayaan pelaksanaan dan garis masa yang ditetapkan,” jelas Kementerian Ekonomi.
Sasaran Sifar Projek Terlengah Menjelang 2030
Bagi memastikan impak pembangunan dapat dirasai dengan cepat oleh rakyat, Kementerian Ekonomi menegaskan bahawa di bawah RMK13, Kerajaan menetapkan sasaran tegas iaitu sifar peratus (0%) projek yang belum dimulakan pada tahun kedua selepas kelulusan menjelang tahun 2030.
Langkah ini bagi memastikan projek yang telah diluluskan disiapkan mengikut jadual dan peruntukan dibelanjakan secara optimum pada tahun semasa.
Dari aspek kebertanggungjawaban dan pemantauan, kemajuan setiap projek yang diluluskan dipantau secara berterusan menerusi mekanisme pemantauan Kerajaan Persekutuan, terutamanya melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) berserta agensi pelaksana berkaitan.
Langkah penambahbaikan berterusan dalam agihan sumber, pelaksanaan dan pemantauan ini penting bagi memastikan setiap projek pembangunan di Sarawak dan seluruh negara memberi impak nyata kepada komuniti setempat dan bukannya tinggal sebagai janji di atas kertas.















