JEREBU: KERAJAAN PERSEKUTUAN PERTIUS PROSES DIPLOMASI DAN TINDAKAN SERANTAU BAGI LINDUNGI SARAWAK

JEREBU: KERAJAAN PERSEKUTUAN PERTIUS PROSES DIPLOMASI DAN TINDAKAN SERANTAU BAGI LINDUNGI SARAWAK

Isu jerebu berulang telah memberi impak serius terhadap aktiviti harian, perancangan acara rasmi, serta ancaman kesihatan penduduk Sarawak

SHARE

KUALA LUMPUR — Kerajaan Persekutuan terus komited memperkukuh kerjasama diplomatik serta tindakan pemantauan domestik dan serantau bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang kerap menjejaskan kesejahteraan rakyat, khususnya di Sarawak.


Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) , Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup menjelaskan, pelbagai langkah bersepadu di peringkat domestik dan serantau telah dipertingkatkan berikutan episod kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, Indonesia.
Bagi Sarawak yang sering terkesan akibat jerebu rentas sempadan, pihak Kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta agensi berkaitan telah mempertingkatkan pemantauan kualiti udara dan pengurusan jerebu, termasuk pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada 3 hingga 7 September 2026. Secara keseluruhan, sebanyak 55 siri OPA telah dilaksanakan di seluruh negara sejak Februari tahun ini.

Menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Tanjung Manis berhubung perancangan serta inisiatif baharu di peringkat ASEAN, Menteri NRES memaklumkan bahawa Malaysia telah membawa dua cadangan utama semasa Mesyuarat Ke-27 Sub-Regional Ministerial Steering Committee (MSC) mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada Julai lalu.

“Cadangan pertama adalah berkaitan Diplomasi Sains untuk memperluaskan penggunaan data, teknologi, dan bukti saintifik dalam pembangunan dasar serta keputusan ASEAN berkaitan pengurusan jerebu. Cadangan kedua pula ialah penubuhan Dana Jerebu Mampan bagi menyediakan sumber pembiayaan yang lebih berterusan untuk menyokong usaha pencegahan kebakaran di peringkat serantau,” jelas beliau.

Kedua-dua cadangan tersebut kini sedang diteliti oleh Sekretariat ASEAN dan bakal diteliti dengan lebih lanjut semasa Mesyuarat Ke-21 Conference of the Parties to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP) di Vietnam pada Disember ini.

Di samping itu, dari aspek kerjasama dua hala bersama Indonesia, Kerajaan Malaysia telah menghantar surat kepada Sekretariat ASEAN serta mengadakan rundingan terus bersama Menteri Lingkungan Hidup Indonesia.

Susulan daripada itu, Indonesia telah bersetuju menerima tawaran bantuan rasmi Malaysia pada 18 September 2026 yang merangkumi operasi pemadaman udara (water bombing), sokongan pesawat amfibia, dan OPA.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjung Manis membangkitkan kebimbangan mengenai isu jerebu berulang yang memberi impak serius terhadap aktiviti harian, perancangan acara rasmi, serta ancaman kesihatan penduduk Sarawak, seperti mana yang pernah berlaku pada Ogos lalu sehingga menyebabkan pengisytiharan darurat di sebuah daerah di Sarawak.

Malaysia yang bakal bertindak sebagai Pengerusi dan Tuan Rumah bagi Mesyuarat Ke-28 MSC pada tahun hadapan menegaskan komitmennya untuk memanfaatkan platform tersebut bagi memperkukuh semangat kebersamaan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN. Langkah ini penting bagi memastikan sasaran ASEAN Free Haze menjelang tahun 2030 di bawah Second ASEAN Haze-Free Roadmap (2023–2030) dapat dicapai secara berkesan.