KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip terhadap penambahan penyertaan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira peningkatan nisbah perwakilan kedua-dua negeri Borneo berkenaan berbanding kedudukan semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memulakan proses rundingan.
Menurut beliau, cadangan peningkatan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak tertakluk kepada penelitian lanjut selaras dengan semangat dan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kerajaan Persekutuan kekal komited meneliti perkara ini berdasarkan apa yang telah dipersetujui bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak, manakala pelaksanaannya tetap tertakluk kepada proses Perlembagaan yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Batang Sadong, Puan Rodiyah binti Sapiee di Dewan Rakyat.
Puan Rodiyah memohon Perdana Menteri menyatakan sasaran nisbah perwakilan yang ditetapkan, termasuk tuntutan perwakilan satu pertiga (35 peratus) untuk Sabah dan Sarawak, serta garis masa pindaan Perlembagaan dan pelaksanaannya.
Mengulas mengenai aspek undang-undang dan mekanismenya, Dato’ Sri Azalina menjelaskan bahawa penetapan komposisi bilangan kerusi dalam Parlimen adalah di bawah bidang kuasa Parlimen menerusi pindaan kepada Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, sebarang pindaan bagi menambah bilangan Ahli Dewan Rakyat memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada jumlah keseluruhan Ahli Dewan Rakyat.
“Berdasarkan maklumat SPR, urusan kajian semula persempadanan hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh delapan tahun atau sekiranya terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Tambah beliau, sebaik sahaja notis kajian semula diterbitkan mengikut Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, SPR mempunyai tempoh sehingga dua tahun untuk menyiapkan kajian berkenaan sebelum menyerahkan laporan akhir kepada YAB Perdana Menteri.















