KONFLIK BUAYA–MANUSIA DI SARAWAK: KERAJAAN AMBIL PENDEKATAN KAJIAN TABIAT DAN CADANGAN HABITAT KHAS SUATU KEUTAMAAN

KONFLIK BUAYA–MANUSIA DI SARAWAK: KERAJAAN AMBIL PENDEKATAN KAJIAN TABIAT DAN CADANGAN HABITAT KHAS SUATU KEUTAMAAN

Langkah utama dalam menangani sebarang konflik hidupan liar adalah dengan memahami tabiat dan habitat haiwan tersebut secara mendalam.

SHARE

KUALA LUMPUR — Kerajaan Persekutuan memberi perhatian serius terhadap isu konflik antara manusia dan buaya yang kerap berlaku di Sarawak, dengan memberi penekanan kepada keperluan memahami tabiat serta habitat haiwan berkenaan bagi merangka langkah penyelesaian yang berkesan.
Isu berkenaan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, yang menyorot kebimbangan penduduk di Sarawak berikutan kes ancaman buaya air yang berlaku setiap tahun sehingga mengancam keselamatan dan nyawa masyarakat setempat.

Menjawab isu berkenaan, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, YB Syed Ibrahim Syed Noh berkaitan menjelaskan bahawa langkah utama dalam menangani sebarang konflik hidupan liar adalah dengan memahami tabiat dan habitat haiwan tersebut secara mendalam.

Bagi perancangan masa depan, pihak Kementerian menyambut baik cadangan penubuhan santuari buaya (croc sanctuary) sebagai antara pendekatan kawalan habitat yang lebih tersusun.

Langkah ini dijangka dapat menempatkan buaya di kawasan habitat khas yang terkawal, sekali gus membantu mengurangkan risiko konflik dengan penduduk di kawasan sekitar sungai.

Selain langkah pencegahan dan kajian habitat, Kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan bagi membantu mereka yang terkesan akibat serangan hidupan liar:

  • Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman: Sejak dimulakan pada Mac 2024 sehingga tahun 2026, sebanyak RM12.7 juta telah disalurkan kepada 740 pemohon yang mengalami kerugian harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar.
  • Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar (BMKHL): Bagi meredakan beban mangsa atau keluarga yang terlibat, sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan bagi tahun 2026 di bawah kelolaan Jabatan Perhilitan. Sehingga September 2026, seramai 145 pemohon telah menerima manfaat ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM145,800.

Pihak Kementerian menegaskan komitmen berterusan untuk menjalankan kajian yang lebih mendalam dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negeri Sarawak bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin tanpa mengabaikan keseimbangan ekosistem hidupan liar.