KUALA LUMPUR — Kerajaan Persekutuan kekal komited memastikan bekalan bahan bersubsidi serta barang keperluan asas diagihkan secara telus, berintegriti dan mencukupi di kawasan pedalaman Sarawak, khususnya di kawasan Parlimen Baram.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah binti Salleh berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa mengambil berat cabaran logistik yang dihadapi penduduk pedalaman, memandangkan Baram merupakan kawasan Parlimen kedua terbesar di Malaysia.
Mengulas perbandingan harga sebelum pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu, beliau menjelaskan bahawa harga silinder gas petroleum cecair (LPG) di Baram pernah mencecah RM250 setong, namun kini berjaya dikawal pada harga RM26.60 setong sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2009.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau di Dewan Rakyat berhubung langkah kementerian dalam menjamin pengagihan barangan bersubsidi di pedalaman Sarawak.
Bagi tahun 2026, sejumlah RM250 juta telah diperuntukkan di bawah Program Pengedaran Barang Perlu yang memberi manfaat kepada 1.03 juta penduduk di 212 zon seluruh negara, merangkumi tujuh item utama iaitu LPG, beras, gula, tepung gandum, minyak masak, petrol, dan diesel.
Khusus bagi kawasan Parlimen Baram, sebanyak 139 point of sale (POS) dan 24 zon telah diwujudkan bagi memberi manfaat kepada 75,593 penduduk tempatan.
Bagi memastikan integriti serta ketelusan pengagihan, KPDN menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas untuk syarikat pengangkutan (transporter), menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan dan Penyelarasan Program, serta menugaskan pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan fizikal secara berkala di POS.
Sehingga 30 September 2026, sebanyak 67 daripada 139 POS di Baram telah dipantau secara fizikal, di mana dua premis yang didapati menjual melebihi harga kawalan telah dikenakan tindakan penamatan perkhidmatan serta-merta.
Menjawab soalan tambahan Dato Anyi Ngau berhubung kadar bayaran syarikat pengangkutan, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah binti Salleh menjelaskan bahawa perantikan pengangkut dibuat secara tender terbuka dan kadar tambang adalah berbeza mengikut cabaran laluan darat mahupun sungai serta jarak perjalanan ke lokasi agihan. –















