KPKB Terus Sediakan Insentif Produktiviti Dan Sokongan Input Buat Pekebun Kecil Sawit Persendirian

KPKB Terus Sediakan Insentif Produktiviti Dan Sokongan Input Buat Pekebun Kecil Sawit Persendirian

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, di bawah RMK13, kementerian menyediakan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit membantu PKSP menggantikan pokok sawit tua dan tidak produktif.

SHARE

KUALA LUMPUR — Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPKB) kekal komited memperkasakan serta memelihara kebajikan pekebun kecil sawit persendirian (PKSP) di seluruh negara, termasuk di Sarawak, melalui penyediaan pelbagai insentif produktiviti dan sokongan input pertanian secara berterusan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kementerian menyediakan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) bagi membantu PKSP menggantikan pokok sawit tua dan tidak produktif.

Menurut beliau, skop bantuan input di bawah skim berkenaan merangkumi pembekalan anak benih sawit berkualiti, baja, racun, serta alatan penyelenggaraan kebun dan kawalan serangan makluk perosak, terutamanya pada peringkat awal pertumbuhan tanaman.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Ahli Parlimen Lubok Antu, YB Roy Angau Gingkoi di Dewan Rakyat berhubung perancangan kerajaan dalam menyediakan insentif produktiviti berterusan dan bantuan input kepada PKSP yang aktif serta mematuhi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Mengulas sokongan kepada PKSP yang mematuhi MSPO, Johari menjelaskan bahawa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) secara berterusan memberi bantuan merangkumi pembiayaan keseluruhan kos audit pensijilan, latihan Amalan Pertanian Baik (GAP), khidmat nasihat teknikal, serta pembacaan berhemah melalui Kelompok Sawit Mampan (SPOC).

Selain itu, agihan insentif fizikal seperti rak penimbangan, bahan kimia, alat perlindungan diri (PPE) dan peralatan berkaitan turut diberikan kepada PKSP yang layak bagi menyokong amalan kelestarian mereka.

Menjawab soalan tambahan daripada Roy Angau berhubung impak perubahan cuaca seperti fenomena El Nino dan jerebu terhadap pengeluaran Minyak Sawit Mentah (CPO) negara, Johari memaklumkan bahawa kesan tertangguh (lagged effect) akibat tekanan cuaca kering dijangka menjejaskan pengeluaran CPO secara ketara pada tahun 2027 berbanding 2026.

Manakala tahun 2028 pula diunjurkan sebagai tempoh pemulihan bergantung kepada taburan hujan dan keadaan cuaca sepanjang tahun 2027.

Bagi memitigasi kesan fenomena El Nino, kerajaan menggalakkan amalan pengurusan ladang yang adaptif termasuk penambahbaikan sistem perparitan, pengairan bersesuaian, penyimpanan air, serta penggunaan bahan organik dan pelepah sawit sebagai sungkupan (mulching) untuk mengekalkan kelembapan tanah.

Tambah beliau, pendekatan pengurusan ladang yang berterusan dan responsif amat penting bagi meningkatkan daya tahan tanaman kelapa sawit terhadap tekanan iklim sekali gus mengurangkan risiko penurunan produktiviti PKSP.