KPWKM PERKUKUH PERLINDUNGAN WARGA EMAS, RUU PENJAGAAN WARGA EMAS KINI DI FASA AKHIR

KPWKM PERKUKUH PERLINDUNGAN WARGA EMAS, RUU PENJAGAAN WARGA EMAS KINI DI FASA AKHIR

Menterinya, Dato' Sri Hajah Nancy Binti Shukri memberitahu, proses penggubalan RUU ini mengambil masa yang lebih panjang bagi memastikan konsultasi komprehensif menerusi pendekatan 'Whole-of-Government' dan 'Whole-of-Society

SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini berada di fasa akhir bagi memuktamadkan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perlindungan warga emas bagi memperkukuh kebajikan serta melindungi golongan berkenaan daripada pengabaian, penderaan dan eksploitasi.

Menterinya, Dato’ Sri Hajah Nancy Binti Shukri memberitahu, proses penggubalan RUU ini mengambil masa yang lebih panjang bagi memastikan konsultasi komprehensif menerusi pendekatan ‘Whole-of-Government’ dan ‘Whole-of-Society’ melibatkan pelbagai kementerian, agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta tinjauan awam.

“Proses libat urus ini memerlukan masa bagi meneliti pelbagai cadangan baharu daripada pemegang taruh supaya RUU yang dihasilkan benar-benar komprehensif, sesuai dengan keperluan semasa dan paling utama, boleh dilaksanakan secara teratur,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Ahli Parlimen Batang Sadong, Puan Rodiyah binti Sapiee di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Mengulas soalan tambahan daripada YB Batang Sadong mengenai sokongan kepada penjaga keluarga (family caregivers) terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, Nancy menegaskan KPWKM berpegang teguh kepada prinsip penjagaan berasaskan keluarga (family-based care) dan penuaan setempat (aging in place).

“Tanggungjawab menjaga warga emas bukanlah beban yang dipindahkan sewenang-wenangnya, sebaliknya keluarga merupakan benteng utama penjagaan manakala kemasukan ke institusi adalah jalan terakhir.

“Bagi membantu penjaga, pelbagai sokongan disediakan termasuk perkhidmatan rawatan domisiliari dan penjagaan paliatif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), insentif pengubahsuaian rumah mesra warga emas oleh KPKT, diskaun tambang pengangkutan awam sehingga 50 peratus, serta Bantuan Warga Emas (BWE) RM600 sebulan bagi yang layak,” katanya.

Tambah beliau, KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan sokongan psikososial menerusi Program Peibu Bapaan Datuk Nenek (Grandparenting), terapi kesunyian, Program Ritma Kehidupan Harmoni (Rhythm) serta perkhidmatan Ziarah Kasih YKN.

Bagi langkah jangka panjang, kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi sedang merangka Draf Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (National Ageing Blueprint – NAB) sebagai panduan strategik menghadapi status negara tua.

Dalam pada itu, KPWKM juga menyasarkan latihan kemahiran dan kompetensi secara bersasar kepada 2,000 penjaga (caregivers) pada tahun ini menerusi Institut Sosial Malaysia (ISM) bagi memprofesionalkan perkhidmatan penjagaan warga emas di negara ini