KUALA LUMPUR: Isu pengurusan pelarian di Malaysia bukan sekadar isu imigresen semata-mata, sebaliknya menyentuh soal kelemahan dan keselamatan negara, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia, kesihatan, pendidikan, pasaran pekerja, hubungan antarabangsa, serta hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, YB Datuk Willie Mongin menegaskan perkara tersebut semasa membahaskan Penyata DR. 21 Tahun 2026 mengenai Pengurusan Pelarian di Malaysia daripada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, pendekatan yang seimbang dan berperikemanusiaan amat diperlukan tanpa mengabaikan aspek keselamatan negara.
“Kita tidak boleh melihat pelarian hanya sebagai mangsa, tetapi kita juga tidak boleh melihat mereka semata-mata sebagai ancaman.
“Apa yang kita perlu lakukan adalah satu sistem yang berperikemanusiaan—tegas, terbuka tetapi terkawal, dan mampu melindungi manusia tanpa mengorbankan keselamatan negara kita,” katanya.
Menyambut baik pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bermula 1 Januari 2026, beliau menekankan kepentingan mewujudkan pangkalan data nasional yang bersepadu merangkumi maklumat biometrik, identiti, kewarganegaraan, lokasi, status pemohonan keselamatan, pekerjaan, pendidikan, serta status penempatan semula atau penghantaran pulang.
Dalam pada itu, YB Puncak Borneo turut mengingatkan agar perbezaan status antara pelarian, pencari suaka, migran ekonomi, pendatang asing tanpa izin (PATI), dan pemegang kad UNHCR dibezakan secara jelas melalui Proses Penentuan Status Pelarian (PSP).
“Prinsipnya mudah—mereka yang benar-benar memerlukan perlindungan, kita mesti lindungi. Manakala mereka yang tidak mempunyai dan tidak memenuhi kriteria serta melanggar undang-undang mestilah tertakluk kepada undang-undang negara kita. Hak asasi manusia tidak bermaksud seorang itu berada di atas undang-undang,” tegasnya.
Menyentuh mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak, beliau menegaskan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar sejarah, sebaliknya sebahagian daripada kerangka Malaysia hari ini.
“Bagi Sabah dan Sarawak, pendirian yang jelas di mana MA63 bukan sekadar sejarah, MA63 adalah sebahagian daripada kerangka Malaysia hari ini.
“Oleh itu, pengurusan pelarian yang baik mestilah berasaskan data, undang-undang, keselamatan, kemanusiaan, akauntabiliti, dan federalisme yang menghormati hak serta kedudukan negeri,” perhalusi beliau.
Mengulas lanjut, YB Puncak Borneo berharap penyata tersebut tidak berakhir sekadar dokumen yang tersimpan di Parlimen, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan nyata dengan garis masa yang jelas, peruntukan yang mencukupi, serta mekanisme pelaporan berkala kepada Parlimen.















