Undang Undang Perlu pastikan kawalan keselamatan makanan kekal relevan dengan cabaran semasa

Undang Undang Perlu pastikan kawalan keselamatan makanan kekal relevan dengan cabaran semasa

Pihak kerajaan tidak boleh terus menyalahkan peniaga seperti Puan Lucia yang menjual tuhau dalam plastik bukan gred makanan secara dalam talian, Togad yang memeram tuak dalam tong plastik, mahupun Makcik Kiah yang menjual nasi lemak berbalut kertas surat khabar di tepi jalan

SHARE

KUALA LUMPUR* — Sistem keselamatan makanan negara perlu dimodenkan seiring dengan perkembangan ekosistem perniagaan masa kini tanpa membelakangkan peranan peniaga kecil dan industri mikro.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026 wajar disokong demi memastikan kawalan keselamatan makanan kekal relevan dengan cabaran semasa.

Beliau menyambut baik pengenalan Seksyen 11A baharu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM500,000 bagi kesalahan berkaitan, serta Seksyen 8A(1) yang memberi kuasa kepada pegawai untuk mengakses maklumat dan data digital.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan undang-undang berkenaan harus diimbangi dengan pendekatan bimbingan dan kesedaran, dan bukannya bersifat punitif semata-mata terhadap peniaga kecil tempatan.

Beliau memberi contoh bahawa pihak kerajaan tidak boleh terus menyalahkan peniaga seperti Puan Lucia yang menjual tuhau dalam plastik bukan gred makanan secara dalam talian, Togad yang memeram tuak dalam tong plastik, mahupun Makcik Kiah yang menjual nasi lemak berbalut kertas surat khabar di tepi jalan.

“Kita tidak boleh menyalahkan mereka, sebaliknya kita perlu membimbing, memberi kesedaran, serta panduan pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran makanan yang selamat mengikut peraturan sebelum menguatkuasakan pindaan ini. Tidak adil jika didikan itu didahului oleh tindakan punitif,” katanya semasa menyertai perbahasan di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Datuk Willie menggesa Kerajaan Persekutuan agar mengadakan perbincangan khusus bersama Kerajaan Negeri, terutamanya Pejabat Peguam Besar Negeri (SAG) Sabah dan Sarawak, memandangkan perihal keselamatan makanan terletak di bawah Senarai Bersama (Concurrent List).

Bagi memantapkan lagi kerangka keselamatan makanan negara, beliau mengesyorkan pengukuhan kebolehkesanan (traceability) digital dengan mengembangkan platform Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) kepada National Food Safety Data and Traceability System bagi merekod profil digital produk berisiko tinggi.

Beliau turut menekankan keperluan sistem penarikan balik secara mandatori (mandatory recall) bagi produk makanan berbahaya di pasaran secara tersusun tanpa bergantung sepenuhnya kepada tindakan sukarela pengeluar.

Di samping itu, beliau menegaskan prinsip tanggungjawab utama pengeluar (producer responsibility) dalam memastikan keselamatan produk yang dipasarkan, selain menggesa ketegasan berhubung kesalahan penipuan makanan yang disengajakan (deliberate food fraud) melalui pengenaan hukuman yang lebih berat berbanding kesilapan teknikal.

Sebagai langkah jangka panjang, Datuk Willie mencadangkan pembentukan Rangka Kerja Keselamatan Makanan Malaysia 2030 menerusi semakan menyeluruh Akta Makanan 1983 yang berteraskan lima prinsip utama iaitu Prevent, Trace, Test, Recall, dan Enforce.

Beliau turut mencadangkan agar Malaysia meneliti amalan terbaik antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, China, dan Singapura untuk disesuaikan mengikut acuan tempatan demi membina sistem kawal selia makanan yang lebih moden dan berkesan.