KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menguji komitmen tinggi dalam memperkasakan usahawan dan koperasi di Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar, menerusi pendekatan holistik merangkumi pembiayaan, latihan, pembungkusan, pensijilan, penjenamaan, serta akses pemasaran digital.
Menterinya menjelaskan perkara berkenaan bagi menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Batang Lupar, YB Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli, yang ingin tahu mengenai strategi Kerajaan dalam membantu usahawan luar bandar Sarawak meningkatkan kemahiran pembungkusan, pensijilan, penjenamaan, dan pemasaran digital supaya produk tempatan mampu menembusi pasar raya besar dan pasaran dalam talian.
Sehingga Ogos 2026, agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti Bank Rakyat, TEKUN Nasional, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp. dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyalurkan pembiayaan bernilai RM801.15 juta yang memberi manfaat kepada 32,261 usahawan dan koperasi di seluruh Sarawak.
Di samping pembiayaan kewangan, pelbagai inisiatif latihan dan bimbingan bersasar turut diperluaskan:
- Inisiatif Latihan INSKEN: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) melaksanakan program latihan keusahawanan MOFA dan BANGKIT di Sarawak. Dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), program ini menumpukan kepada usahawan sektor makanan dan minuman (F&B), di samping menyediakan penekanan modul pensijilan halal serta konsultasi percuma PRIME@NADI di 20 pusat NADI terpilih di Sarawak.
- Transformasi Digital dan Penjenamaan IKMa: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) menganjurkan enam kursus khusus sehingga September 2026 meliputi pembungkusan dan penjenamaan produk, pembangunan produk OEM, pengurusan pasar mini, pemasaran TikTok, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pemasaran digital, e-marketplace, serta bimbingan Program BESTARI.
- Kerjasama TEKUN Nasional & TikTok Shop: TEKUN Nasional memperkukuh kemahiran pengurusan kewangan dan literasi digital menerusi Seminar Asas Keusahawanan (SAK) di Bintulu dan Kuching yang melibatkan 453 usahawan. TEKUN turut menjalin kerjasama dengan TikTok Shop Malaysia dan menyediakan Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) bagi menggalakkan jualan dalam talian.
- Sokongan Penskalaan SME Corp.: SME Corp. menyediakan sokongan inovasi dan penskalaan perniagaan kepada PMKS Sarawak melalui pelbagai geran dan program seperti Dana Pemangkin Penskalaan PKS, PKS@kses, PKSlestari, Penskalaan Perniagaan Inklusif, dan PRESTIGE 2.0.
Inisiatif menyeluruh daripada KUSKOP ini dijangka melonjakkan keupayaan usahawan tempatan di Sarawak untuk menghasilkan produk yang berdaya saing, mematuhi piawaian pasaran moden, serta meluaskan capaian pasaran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.















