KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Betong, YB Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri, telah mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, dengan menggesa kerajaan Persekutuan memastikan hasil pembangunan negara benar-benar mengakar di bumi Sarawak serta membawa keadilan fiskal yang saksama.
Sambil merakamkan penghargaan atas pembentangan Belanjawan 2027 yang bertemakan “Ekonomi MADANI: Mengakar Pertumbuhan, Menjulang Saksama”, beliau mengingatkan bahawa penilaian keberkesanan belanjawan perlu mencerminkan realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.
“Kejayaan sesebuah negara bukan hanya diukur pada angka-angka pertumbuhan ekonomi yang hebat atau jumlah pelaburan berbilion ringgit… bagi rakyat biasa terutamanya di luar bandar, kejayaan sebenar bermaksud duit dalam poket mereka bertambah, pekerjaan yang baik untuk anak mereka, kemudahan asas yang berfungsi, serta akses kepada sekolah dan klinik kesihatan yang selesa,” tegas beliau.
Tuntut Autonomi Penuh Projek Persekutuan & Hak Geran Khas MA63
Dalam aspek hubungan Persekutuan-Negeri, YB Betong mendesak agar Arahan Perbendaharaan (PB 1.8) ditambah baik dengan memberikan autonomi penuh pelaksanaan projek pembangunan kepada agensi teknikal tempatan di Sarawak tanpa mengehadkan nilai siling RM50 juta sahaja. Beliau menegaskan bahawa kekangan birokrasi Putrajaya sering menyebabkan projek persekutuan berisiko lewat disiapkan dan reka bentuk yang tidak sesuai dengan keadaan tempatan.
“Keahlian agensi teknikal tempatan seperti JKR Sarawak mahupun JKR Sabah mempunyai kepakaran serta pengalaman menguruskan projek besar. Berikanlah kepercayaan kepada profesionalisme anak-anak tempatan… Berikan autonomi pelaksanaan projek tanpa had nilai,” desak YB Betong.
Mengenai Geran Khas Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, beliau menyambut baik kenaikan kadar bayaran interim kepada RM600 juta, namun mengingatkan bahawa Sarawak memerlukan kepastian kewangan menerusi formula tetap yang dimuktamadkan secara adil.
“Geran khas ini bukan soal ehsan Kerajaan Persekutuan, tetapi soal hak Perlembagaan dan keadilan fiskal yang perlu ditangani berdasarkan Perkara 112D serta semangat MA63,” katanya.
Pertahankan Kemudahan Kesihatan dan Keperluan Utama Betong
Dalam sektor kesihatan, YB Betong menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan pengurangan skop pembinaan Projek Klinik Kesihatan Jenis 3 dan Kuarters Betong berharga RM100 juta. Beliau mendesak kerajaan Persekutuan mengekalkan skop asal termasuk pembinaan kesemua 18 unit kuarters petugas kesihatan.
“Pengurangan skop tidak seharusnya menjadi jalan penyelesaian utama pada peningkatan kos… Doktor tidak mahu berkhidmat di kawasan luar bandar kerana tidak ada kuarters… Jangan sampai kita mahu berjimat dengan belanja hari ini menyebabkan kemudahan kesihatan di Betong tidak lagi mampu memenuhi keperluan rakyat pada masa hadapan,” ujar beliau lagi.
Di samping itu, beliau turut memperjuangkan pembinaan Kolej Teknikal Konvensional baharu di Betong untuk anak-anak muda tempatan, penyediaan mesin cetak kad pengenalan di Pejabat JPN Betong bagi memudahkan urusan dokumen rasmi, serta penubuhan stesen pemantauan Indeks Pencemaran Udara (IPU) rasmi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Bahagian Betong.
Menutup ucapan perbahasannya, beliau mengingatkan bahawa pembangunan di kawasan pedalaman Sarawak mesti dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.
“Pembangunan di kawasan luar bandar tidak boleh dinilai berdasarkan kos semata-mata, tetapi mesti mengambil kira keperluan rakyat dan kecukupan tenaga kerja… Hasil penilaian bukan pada apa yang dijanjikan, tetapi apa yang dilaksanakan,” akhiri beliau.















