KUALA LUMPUR, 15 Okt — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengguna pakai pendekatan mengoptimumkan penguatkuasaan sedia ada serta beralih kepada teknologi penimbangan canggih bagi memantau dan menangani isu kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan di Sarawak, khususnya di jajaran Lebuhraya Pan Borneo.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menjelaskan, langkah ini membolehkan kawalan dan pemantauan dilaksanakan secara meluas dan berkesan tanpa bergantung kepada pembinaan stesen timbang fizikal baharu di setiap lokasi.
Pernyataan tersebut disampaikan menerusi jawapan lisan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd. Wahab di Dewan Rakyat pada Khamis mengenai perancangan pembinaan Stesen Penguatkuasa Timbang JPJ di jajaran Pan Borneo bahagian Sarikei.
Pengoptimuman Stesen dan Unit Timbang Mudah Alih Sedia Ada
MOT memaklumkan bahawa pada masa ini JPJ mempunyai 48 buah Stesen Penguatkuasa di seluruh negara serta 36 unit alat timbang mudah alih yang boleh digerakkan mengikut keperluan operasi dan risikan penguatkuasaan.
Bagi negeri Sarawak, beberapa stesen penguatkuasa sedia ada terus dioperasikan, antaranya:
- Stesen Penguatkuasa Stapang (Jajaran Sibu–Bintulu)
- Stesen Penguatkuasa Serian
- Stesen Penguatkuasa Skaloh
Pendekatan semasa adalah dengan memaksimalkan penggunaan aset sedia ada ini serta melaksanakan operasi bergerak di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kadar ketidakpatuhan muatan yang tinggi.
Peralihan Kepada Sistem Penimbangan Berteknologi Tinggi (HS-WIM)
Sebagai penyelesaian jangka panjang, Kementerian Pengangkutan kini beralih kepada sistem penguatkuasaan berasaskan teknologi menerusi High Speed Weigh-In-Motion (HS-WIM).
Sistem berteknologi tinggi ini berupaya mengesan berat kenderaan perdagangan secara automatik sewaktu kenderaan bergerak tanpa perlu mengarahkannya masuk ke stesen timbang fizikal.
“Sehingga September 2026, pembangunan sistem HS-WIM di 11 lokasi di Semenanjung Malaysia telah mencapai tahap pelaksanaan 98.33 peratus. Keberkesanan sistem ini akan dinilai terlebih dahulu dari segi ketepatan dan tahap pematuhan sebelum diperluaskan ke lokasi strategik di Sabah dan Sarawak,” jelas MOT.















