SEMPADAN DARAT MENGKALAP LAWAS DAN TEMBURONG BRUNEI SELESAI DIMUKTAMADKAN RASMI

SEMPADAN DARAT MENGKALAP LAWAS DAN TEMBURONG BRUNEI SELESAI DIMUKTAMADKAN RASMI

Jajaran sempadan darat antarabangsa Malaysia-Brunei di Mengkalap, Lawas dan Temburong telah selesai dimuktamadkan secara rasmi menerusi pemeteraian MoU Fasa 1 di Bandar Seri Begawan pada 26 Ogos 2024.

SHARE

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Persempadanan darat antarabangsa antara Mengkalap, Daerah Lawas, Sarawak dengan Temburong, Brunei Darussalam telah selesai ditentukan dan dimuktamadkan secara rasmi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Fasa 1 yang ditandatangani pada 26 Ogos 2024.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan bahawa persempadanan tersebut memuktamadkan jajaran sepanjang 39.883 kilometer bermula dari tanda sempadan K2100 hingga L100, yang merupakan sebahagian daripada Sektor K-L (sepanjang 105.20 kilometer).

Penyelesaian rasmi ini dicapai bersempena 25th Annual Leaders’ Consultation (ALC-25) di antara YAB Perdana Menteri Malaysia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei Darussalam yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.

Penjelasan berkenaan disampaikan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menerusi jawapan lisan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong di Dewan Rakyat pada Khamis.

Penandaan Baki Jajaran Disasar Siap Pada 2028

Kementerian memperincikan bahawa secara keseluruhannya, sempadan darat antarabangsa Malaysia dan Brunei Darussalam dianggarkan sepanjang 528.45 kilometer yang terbahagi kepada 10 sektor.

“Hasil pemeteraian MoU Fasa 1 tersebut, jajaran sempadan darat antarabangsa di kawasan Mengkalap-Temburong telah diselesaikan dengan jaya. Fokus utama pasukan teknikal kedua-dua negara pada masa ini adalah meneruskan kerja-kerja penandaan dan pengukuran bagi baki jajaran Sektor K-L sepanjang 65.317 kilometer,” jelas kementerian.

Baki kerja-kerja pengukuran serta penandaan fizikal tersebut disasarkan untuk diselesaikan sepenuhnya menjelang tahun 2028. Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama dua hala bersama Brunei Darussalam bagi memastikan persempadanan baki jajaran berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.