KUALA LUMPUR — Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat menyaksikan Ahli Parlimen Batang Lupar, YB Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli, tampil menyuarakan pendirian tegas berhubung autonomi kewangan Sarawak, pemulihan kesaksamaan hak perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta desakan membanteras ancaman sosial di kawasan luar bandar.
Membuka tirai perbahasan, beliau merakamkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan pembangunan untuk Sarawak kepada RM16.2 bilion di bawah Belanjawan 2027, di samping penyaluran pemberian khas interim RM1.5 bilion di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, YB Batang Lupar menegaskan bahawa persetujuan terhadap formula kewangan yang lebih adil dan konsisten mesti dimuktamadkan segera antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.
“Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Namun dalam masa yang sama, saya berharap agar suatu formula yang lebih tepat, jelas, dan konsisten dapat dipersetujui… ianya penting bagi memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan yang lebih menyeluruh demi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak termasuk di Parlimen saya, Batang Lupar.” — YB Batang Lupar
Pulihkan Nisbah 1/3 Kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak
YB Batang Lupar turut membangkitkan isu perwakilan wilayah yang belum dimuktamadkan sepenuhnya sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Beliau mengingatkan Dewan Rakyat bahawa pemansuhan 15 kerusi Singapura pada tahun 1965 tanpa diagihkan semula kepada Sabah dan Sarawak telah menghakis nisbah asal perwakilan 35 peratus yang dijamin oleh tokoh-tokoh pengasas negara.
Mendedahkan statistik hakisan kerusi berkenaan, beliau memaklumkan bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak merosot daripada 27.7 peratus pada tahun 1965 kepada hanya 25.3 peratus (56 daripada 222 kerusi) pada tahun 2026 ini.
“Soal mengembalikan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat ini telah lama dibawa oleh kami wakil-wakil rakyat Sabah dan Sarawak… Apa yang tinggal sekarang adalah political will daripada semua pihak. Saya amat yakin dan percaya apabila dibentangkan Pindaan Perlembagaan Persekutuan kelak, ianya akan mendapat sokongan penuh daripada sebelah sini mahupun sebelah sana.” — YB Batang Lupar
Beliau turut menekankan bahawa sebarang penambahan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada masa hadapan wajib diimbangi dengan penambahan saksama di Sabah dan Sarawak bagi memelihara keseimbangan kuasa perwakilan.
Gesa Larangan Sepenuhnya dan Akta Baharu Banteras Judi ‘Online’
Di samping isu perlembagaan, YB Batang Lupar menyatakan kebimbangan mendalam berhadap gejala perjudian atas talian (judi online) yang semakin merebak ke kawasan cerok kampung dan merosakkan golongan belia. Beliau mendedahkan anak-anak muda kini ketagih melakukan pembelian tambah nilai (top-up) judi di kedai 24 jam sehingga mencetuskan krisis hutang dan masalah sosial berantai.
Bagi mengatasi ancaman ini, beliau menggesa kerajaan mengenakan larangan sepenuhnya menerusi gubalan undang-undang baharu atau pindaan ketat terhadap Akta Rumah Perjudian Terbuka, Akta Jenayah Cyber, serta Akta Komunikasi dan Multimedia. Beliau turut mengambil contoh ketegasan negara luar seperti Singapura, Australia, China, dan Turkiye yang berjaya menyekat domain judi haram dan akses dark web.
Kekuatan Pemantauan SKMM dan Isu Jerebu Rentas Sempadan
Mengenai aspek penguatkuasaan digital, beliau mendedahkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini hanya mempunyai 56 orang pegawai untuk memantau carian domain dan URL secara manual (keyword search). Justeru, beliau mendesak peruntukan Belanjawan 2027 digunakan untuk menubuhkan Task Force khas dan menambah keupayaan pemantauan digital SKMM secara automatik.
Mengakhiri perbahasan, YB Batang Lupar turut menyentuh krisis jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kesihatan rakyat dan sasaran pelepasan karbon sifar negara. Beliau menuntut agar Malaysia mengikut langkah berani Singapura yang mengeluarkan notis undang-undang di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan terhadap syarikat luar negara yang terlibat dengan pembakaran hutan.
“Bayangkan kita sibuk mengitar semula sampah demi memelihara alam sekitar, tetapi jiran sebelah rumah sesuka hati bakar sampah setiap petang. Bukan sahaja sakit paru-paru Puan Speaker, tapi betul-betul menyakitkan hati!” — YB Batang Lupar















