KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Lubok Antu, YB Tuan Roy Angau Anak Gingkoi telah mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, dengan menggesa Kerajaan Persekutuan memastikan agihan belanjawan dibuat berasaskan keperluan geografi sebenar dan cabaran kawasan pedalaman Sarawak.
Membuka perbahasannya, YB Lubok Antu merakamkan penghargaan atas pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri yang merangkumi perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM459.8 bilion serta pelaburan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) dan swasta yang menjadikan jumlah sumber negara mencecah RM510 bilion. Beliau menyambut baik usaha kerajaan dalam mengukuhkan pertumbuhan ekonomi dan menangani kos sara hidup, namun menegaskan bahawa kejayaan fiskal negara tidak boleh dinilai dari sudut angka semata-mata.
“Belanjawan bukan sekadar helian angka dan janji yang indah di atas kertas. Nilainya terletak pada sejauh mana ia benar-benar sampai di kaki rakyat… Bagi kawasan pedalaman seperti Lubok Antu, keutamaan pembangunan perlu mengambil kira cabaran geografi, kos penyediaan kemudahan asas, dan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk.” — YB Lubok Antu
Semangat MA63: Tuntut Perwakilan 1/3 Kerusi dan Ketelusan Geran Khas
Menyentuh hubungan Persekutuan-Negeri di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), YB Lubok Antu membangkitkan isu tuntutan perwakilan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak. Beliau mengingatkan bahawa Report of the Commission of Enquiry, North Borneo and Sarawak (Laporan Suruhanjaya Cobbold) jelas menegaskan keperluan perlindungan politik (safeguard mechanism) serta perwakilan saksama (adequate representation) untuk wilayah Borneo.
Beliau meminta penjelasan kementerian mengenai status terkini garis masa dan mekanisme perundingan berhubung tuntutan perwakilan kerusi tersebut. Di samping itu, beliau menyambut baik kenaikan pemberian khas interim kepada Sarawak daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, tetapi mendesak agar formula tetap yang berasaskan pemboleh ubah seperti keluasan kawasan, kos pembinaan, dan keperluan pembangunan sebenar dimuktamadkan segera.
“Sabah dan Sarawak ialah rakan pengasas Malaysia. Perwakilan satu pertiga bukan sekadar soal angka, tetapi soal keadilan sejarah, keseimbangan kuasa, dan kepercayaan antara rakan pengasas.” — YB Lubok Antu
Selesai Prosedur Tender Jalan Ulu Skrang dan Jembatan Nanga Entalau
YB Lubok Antu membawa perhatian Dewan Rakyat kepada kelewatan kritikal projek infrastruktur di kawasan beliau, khususnya projek menaik taraf bekas Jalan Ulu Skrang bernilai RM300 juta yang diluluskan sejak tahun 2023. Beliau mendedahkan bahawa projek sepanjang 43 kilometer yang merangkumi pembinaan tiga jembatan konkrit itu telah melalui proses tender semula pada Mei 2026, namun sehingga kini proses perolehan masih belum dimuktamadkan.
Beliau mendedahkan kesukaran penduduk Ulu Skrang yang terpaksa bergantung kepada bekas jalan balak yang rosak teruk setiap kali musim hujan, manakala pada Januari 2025 kejadian tanah runtuh di Nanga Belai telah terputus hubungan darat bagi tujuh buah rumah panjang dan SK Nanga Entalau. Sehubungan itu, YB Lubok Antu mendesak Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi pelaksana memberikan jawapan pasti mengenai pelantikan kontraktor serta jaminan sasaran penyiapan pada November 2030.
Selain itu, beliau turut memohon penjelasan status terkini projek Jembatan Konkrit Nanga Entalau Ulu Skrang di bawah RMK-12 (RP3 2023) bernilai RM5.76 juta, serta projek pembinaan jalan dari Simpang Nanga Delok ke Nanga Sumpak di kawasan Empangan Batang Ai.
“Saya sendiri pernah melalui perjalanan menggunakan bot di kawasan ini. Ketika air surut, penumpang kadangkala terpaksa turun untuk menarik bot melalui kawasan cetek dan deras. Keadaan ini mengukuhkan keperluan pembinaan jalan yang menghubungkan kawasan tersebut dengan jalan utama.” — YB Lubok Antu
Krisis Jerebu Rencam dan Keselamatan Pintu Sempadan ICQS Lubok Antu
Dalam aspek kesejahteraan alam sekitar, YB Lubok Antu mendedahkan bahawa pada 3 September 2026, Lubok Antu mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kritikal mencecah 466, iaitu pada tahap sangat berbahaya akibat jerebu rentas sempadan. Beliau mendesak kerajaan menyediakan pelan kesiap-siagaan jerebu yang khusus bersama peruntukan kewangan, sistem amaran awal, dan penyelarasan rentas agensi.
Mengakhiri perbahasannya, YB Lubok Antu menekankan peranan strategik Lubok Antu sebagai pintu masuk rasmi sempadan Sarawak-Kalimantan dan lokasi Empangan Hydro Batang Ai. Beliau mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) meningkatkan aset keselamatan dan anggota polis, di samping memasang mesin pengimbas bagasi penumpang di Kompleks ICQS Lubok Antu yang masih belum wujud sehingga kini bagi membendung pergerakan barangan seludup. Beliau juga mencadangkan penyediaan kaunter permohonan pas menyeberang sempadan terus di ICQS Lubok Antu bagi memudahkan urusan kecemasan penduduk tanpa perlu berulang-alik ke Sri Aman















