KUALA LUMPUR — Penentuan gred jawatan Ketua Polis Daerah (KPD) di seluruh negara, termasuk 16 daerah di Sarawak yang luas, tidak dibuat semata-mata berdasarkan faktor keluasan geografi sesebuah kawasan, sebaliknya mengambil kira keseluruhan kompleksiti dan beban tugas operasi polis.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan lisan daripada Ahli Parlimen Lubok Antu, Tuan Roy Angau Anak Gingkoi, yang memohon penjelasan mengenai perancangan kementerian untuk menaik taraf pangkat KPD di Sarawak daripada Penolong Pesuruhjaya Polis (DSP) kepada Superintenden (SUPT).
Menerusi jawapan rasmi kementerian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membangunkan Model Wajaran Ketua Polis Daerah bagi memastikan penilaian gred jawatan dilaksanakan secara objektif dan bersesuaian dengan keperluan operasi semasa. Model penilaian ini mengambil kira beberapa kriteria utama yang merangkumi:
- Pengurusan Pencegahan Jenayah dan Operasi
- Keselamatan dan Ketenteraman Awam
- Pentadbiran serta Sumber di Bawah Kawalan
- Pengurusan Siasatan
- Faktor Sosioekonomi dan Geografi (termasuk keluasan kawasan dan persempadanan negara)
Berdasarkan penilaian menerusi model tersebut, PDRM akan mengenal pasti keperluan penyelarasan gred jawatan KPD secara berperingkat mengikut keutamaan dan keperluan semasa. Sebarang cadangan menaik taraf atau penyelarasan gred bagi daerah-daerah di Sarawak akan dikemukakan kepada Agensi Pusat untuk pertimbangan lanjut tertakluk kepada justifikasi, keutamaan perkhidmatan, serta dasar perjawatan yang berkuat kuasa.















