Kenapa Sarawak Selalu Jadi Mangsa Batal Projek?

Kenapa Sarawak Selalu Jadi Mangsa Batal Projek?

Mengapa projek-projek dari Sabah dan Sarawak sering menjadi sasaran pembatalan berbanding Semenanjung, memandangkan peruntukan untuk wilayah ini sudah sedia kecil iaitu sekitar 20 peratus sahaja berbanding 80 peratus untuk Semenanjung

SHARE

KUALA LUMPUR – Sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan di Dewan Rakyat menyaksikan Ahli Parlimen Puncak Borneo bangkit mencelah sesi penggulungan bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dikendalikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau melahirkan rasa terkejut dan kecewa selepas mendapati terdapat projek-projek di Sabah dan Sarawak, termasuk di kawasan parlimennya sendiri, yang tiba-tiba dibatalkan.

Dalam celahan tersebut, beliau menuntut penjelasan mengapa projek-projek dari Sabah dan Sarawak sering menjadi sasaran pembatalan berbanding Semenanjung, memandangkan peruntukan untuk wilayah ini sudah sedia kecil iaitu sekitar 20 peratus sahaja berbanding 80 peratus untuk Semenanjung. Beliau turut meminta pihak kementerian membekalkan senarai penuh projek di Sarawak khususnya di Puncak Borneo yang telah ditender, sama ada ia termasuk dalam senarai projek yang dibatalkan.

Antara projek di kawasan beliau yang terjejas dan telah ditender termasuklah projek bekalan air Puncak Borneo Fasa 2, projek Jalan Biak Nabir, serta projek jalan sambungan untuk Pusat Penempatan Semula (BRS) Bengan Resettlement Centre. Beliau merayu agar nasib penduduk di Puncak Borneo terus terbela dan projek mereka tidak dianaktirikan atau dibatalkan begitu sahaja.

Menjawab persoalan dan rayuan tersebut, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa beliau sangat-sangat bersimpati dengan sahabatnya dari Puncak Borneo, serta berjanji jika permohonannya berjaya, beliau akan memberikan keutamaan tertinggi kepada Puncak Borneo.