KUALA LUMPUR – Suasana di Dewan Rakyat sebentar tadi tegang apabila Ahli Parlimen Puncak Borneo bangkit mencelah sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak). Beliau meluahkan rasa kecewa kerana walaupun pihak kementerian sering melaungkan kepentingan mematuhi undang-undang dan perlembagaan, namun masih terdapat isu-isu penting yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan didakwa terus dilanggar tanpa sebarang tindakan tegas atau garis masa penyelesaian yang telus.
Antara isu utama yang dibangkitkan beliau termasuklah ketiadaan garis masa yang tetap di dalam papan pemuka kementerian, di mana menteri hanya membentangkan apa yang telah dilaksanakan tanpa menyatakan bilakah sesuatu perkara itu akan diselesaikan sepenuhnya. Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara yang jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara tidak dihormati.
Selain itu, beliau membangkitkan isu Perkara 160E(2)(a) mengenai ketiadaan tindakan pindaan terhadap kedudukan Sabah dan Sarawak yang boleh dibuat tanpa persetujuan kerajaan negeri, manakala hak berkaitan minyak dan sebagainya dipinda tanpa persetujuan kerajaan Sabah serta Sarawak, yang jelas tidak mengikut undang-undang dan perlembagaan.
Sebagai tambahan kepada isu perlembagaan tersebut, YB Puncak Borneo turut mengemukakan soalan kritikal dengan menegaskan, “Sampai bila kita ada tawar menawar untuk memuktamadkan perkara ini? Sebab kita daripada Sabah dan Sarawak ini dituduh menghasut untuk membenci Semenanjung, padahal tidak…” Beliau menambah bahawa beliau tidak mahu perkara tersebut diulang setiap kali bersidang, namun berjanji untuk terus memperjuangkan nasib untung rakyat mereka selagi isu itu belum selesai.















