KUALA LUMPUR – Sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Ahli Parlimen Puncak Borneo bangkit mencelah untuk membangkitkan kebimbangan serius mengenai pengurusan risiko kecerdasan buatan (AI). Beliau merakamkan penghargaan atas pelbagai usaha yang telah dilaksanakan kementerian, namun menyuarakan kebimbangan bahawa AI tidak mempunyai jiwa serta perasaan, sekali gus berisiko tinggi untuk disalahgunakan jika tiada kawalan ketat.
Dalam celahan yang sama, YB Puncak Borneo mengemukakan soalan tambahan dan cadangan kritikal kepada pihak kementerian agar menjalinkan kerjasama strategik dengan kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan. Beliau memohon agar satu langkah atau program pencegahan (preventive measure) diwujudkan khusus bagi memberi kesedaran mengenai risiko AI kepada generasi muda, terutamanya di peringkat sekolah rendah dan menengah. Menurut beliau, langkah ini penting bagi memastikan generasi masa depan dapat menerapkan kesedaran tersebut serta memanfaatkan teknologi AI secara berhemah dan positif.
Menjawab pandangan dan cadangan tersebut, pihak menteri menyatakan persetujuan bahawa usaha membina generasi yang mahir bukan sahaja dalam menggunakan teknologi baharu, tetapi juga sedar akan risiko di sebalik teknologi tersebut adalah satu keperluan yang sangat penting. Pihak menteri menegaskan penekanan perlu diberikan kepada aspek kesedaran masyarakat umum, di samping menubuhkan institusi serta modul pembelajaran khusus bermula dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, hingga ke peringkat pengajian tinggi bagi memastikan risiko AI dapat dikesan dan dikurangkan di setiap peringkat.















