KUALA LUMPUR – Suasana Dewan Rakyat semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi Kementerian Komunikasi menyaksikan Ahli Parlimen Puncak Borneo bangkit mencelah bagi menyuarakan isu liputan dan kualiti perkhidmatan telekomunikasi yang menghimpit rakyat di kawasan beliau.
Beliau membangkitkan permasalahan kualiti rangkaian, khususnya membabitkan Kualiti Perkhidmatan (Quality of Service) dan Kualiti Pengalaman (Quality of Experience) yang disifatkannya amat teruk berdasarkan pengamatan serta aduan yang diterima.
Sehubungan itu, YB Puncak Borneo merayu kepada Menteri Komunikasi agar mempertimbangkan pembinaan menara-menara baharu yang telah dikongsikan dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Beliau turut mencadangkan agar capacity dan kestabilan menara sedia ada ditingkatkan, terutamanya di kawasan yang mengalami isyarat internet perlahan akibat kesesakan rangkaian mahupun gangguan seperti bekalan elektrik terputus.
Di samping itu, beliau menggesa pihak kementerian dan MCMC mengena pasti kawasan titik buta (dead zone) seperti di kampung, lembah, dan kawasan berbukit melalui kajian teknikal. Beliau turut menyarankan audit liputan sebenar dijalankan di setiap kampung bersama pihak Telco.
Antara penyataan dan pengalaman menarik yang dikongsikan oleh beliau di Parlimen termasuk:
“Lain ini daripada meja mereka, daripada data center mereka atau control center mereka nampak bagus, tapi bila kita di lapangan, dia memang berbeza.”
“Saya membuat aduan mengenai perkhidmatan Digi-Celcom… Saya begitu setia daripada mula saya beli handphone saya guna Digi dan Celcom sebab saya ada dua line. Tapi kebelakangan ini line ini cukup teruk sehinggakan saya ‘give up’, saya terpaksa ‘port’ line saya kepada Maxis.”
“Sebagai seorang yang berlatar belakangkan IT, saya fahamlah… Kadang-kadang ‘what we see is not what we get’.”
Saranan dan celahan itu turut mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Libaran yang bersetuju dengan pandangan YB Puncak Borneo berhubung jurang kualiti talian antara data sistem dan realiti di lapangan.















