KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Betong menyatakan sokongan secara prinsip terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 (D.R. 24/2026) bagi Bacaan Kali Yang Kedua di Dewan Rakyat. Beliau meyakinkan bahawa selepas hampir tiga dekad pelaksanaan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), usaha memperkukuh akta ini sememangnya wajar bagi mempertingkat ekosistem sukan negara. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perluasan kuasa Menteri, Pesuruhjaya Sukan, dan pegawai penguat kuasa mesti bergerak seiring dengan tiga prinsip asas, iaitu kuasa, kawalan, dan keadilan proses (due process).
Mengulas mengenai Seksyen 41, Peraturan Antidoping, dan Sukan Selamat, beliau menyentuh Fasa 11 yang memberi kuasa kepada Menteri untuk membuat peraturan berkaitan antidoping dan sukan selamat, manakala Fasa 12 memperluas kuasa pengecualian Menteri. Beliau mempersoalkan sejauh mana kuasa pengecualian ini boleh digunakan terhadap peraturan berkenaan serta menggesa agar setiap pengecualian disertakan dengan alasan bertulis yang direkodkan dan boleh diaudit. Langkah ini penting bagi memastikan ruang pengecualian tersebut tidak menjejaskan integriti sukan dan komitmen antarabangsa Malaysia terhadap piawaian antidoping.
Mengenai Seksyen 41A berkenaan Pembatalan Pendaftaran Badan Sukan, Ahli Parlimen Betong memahami keperluan kerajaan bertindak tegas sekiranya wujud ancaman serius atau pelanggaran undang-undang. Namun, beliau mengingatkan bahawa pembatalan pendaftaran membawa implikasi besar terhadap aset badan sukan di bawah Seksyen 25A. Bagi kes yang tidak melibatkan ancaman keselamatan segera, beliau mencadangkan agar Notis Alasan Bertulis diberikan bagi memberi peluang kepada badan sukan membuat representasi atau rayuan. Beliau turut menekankan agar aset yang dibina hasil sumbangan masyarakat—seperti gelanggang dan peralatan—tidak sewenang-wenangnya disatukan ke dalam kumpulan uang. Memandangkan Seksyen 25B menyediakan ruang untuk penubuhan badan pengganti, beliau menggesa agar hak ini dimaklumkan secara rasmi bersama tempoh munasabah sebelum aset dilucutkan atau dipindahkan.
Menyentuh *iktibar daripada isu tadbir urus badan sukan antarabangsa, beliau menekankan bahawa kelemahan pengurusan dokumen dan tadbir urus boleh memberi kesan buruk kepada negara, atlet, dan imej sukan tanah air. Beliau menggesa agar kerajaan mewujudkan sistem pencegahan awal dan bukannya sekadar menyiasat selepas masalah berlaku. Bagi mencapai matlamat ini, beliau mencadangkan pelaksana standard tadbir urus minimum yang diwajibkan, merangkumi pengisytiharan konflik kepentingan, pemisahan fungsi, pengesahan dokumen, jejak audit (*audit trail), serta tanggungjawab jelas pemegang jawatan terhadap maklumat yang dihantar ke peringkat antarabangsa demi melindungi persatuan dan atlet daripada kecuaian pengurusan.
Dalam aspek Sukan Selamat, Ahli Parlimen Betong menegaskan bahawa Kod Sukan Selamat tidak seharusnya kekal sekadar dokumen rujukan, sebaliknya perlu ditransformasikan kepada peraturan yang mempunyai kuasa undang-undang. Beliau mencadangkan penubuhan saluran aduan bebas khas bagi kes yang melibatkan jurulatih atau pegawai kanan, selain memberi perlindungan lebih tinggi kepada atlet bawah umur dan atlet para yang berada dalam kedudukan lebih bergantung kepada pihak persatuan.
Memikirkan cabaran *sukan di kawasan luar bandar seperti Betong dan Sarawak, beliau mengingatkan agar pembuatan merus undang-undang tidak hanya berfokus kepada badan sukan besar semata-mata. Kebanyakan persatuan sukan luar bandar digerakkan oleh guru, belia, dan penjawat awam secara sukarela tanpa pejabat tetap mahupun capaian internet yang baik. Justeru, beliau menggesa kerajaan agar memudahkan pematuhan melalui penganjuran **Klinik Pematuhan Mengikut Zon, penyediaan templat perlembagaan dan kewangan, serta perkhidmatan digital berpusat. Beliau turut mencadangkan penetapan *Service Level Agreement (SLA) kelulusan yang jelas—seperti 14 hingga 30 hari—bagi mengelakkan persatuan kecil menunggu berbulan-bulan hanya untuk urusan pentadbiran.
Mengakhiri ucapan, beliau memohon perhatian khusus terhadap Sarawak menerusi penambahan pegawai Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), penempatan pegawai di Sabah dan Sarawak, serta penurunan kuasa yang sesuai agar urusan pentadbiran tidak tertumpu di Putrajaya sahaja. Beliau juga memohon penjelasan Menteri mengenai keperluan jumlah pegawai tambahan, penempatan di Sabah dan Sarawak, serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pelaksanaan akta bagi tempoh dua tahun akan datang. Beliau menegaskan kejayaan pindaan undang-undang ini tidak sepatutnya diukur daripada jumlah persatuan yang disiasat atau dibatalkan, sebaliknya daripada peningkatan kualiti persatuan, perlindungan atlet, dan pembangunan bakat baharu di seluruh negara.















