YB Lubok Antu Tekankan Keperluan Garis Panduan Akses Data Digital Penguatkuasa

YB Lubok Antu Tekankan Keperluan Garis Panduan Akses Data Digital Penguatkuasa

Kuasa mencari bukti tidak sepatutnya secara automatik menjadi akses tanpa sempadan kepada keseluruhan sistem digital sesebuah organisasi.

SHARE

RUU Makanan (Pindaan) 2026: Lubok Antu Tekankan Keperluan Garis Panduan Jelas Mengenai Akses Data Digital Pegawai Penguat Kuasa*

KUALA LUMPUR — Penguatkuasaan kawalan keselamatan makanan berasaskan data digital menerusi Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Makanan 2026 perlu disokong dengan garis panduan, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kawalan keselamatan (safeguard) yang mencukupi bagi mengelakkan salah guna akses maklumat.

Ahli Parlimen Lubok Antu, YB Roy Angau Gingkoi berkata, beliau menyokong penuh usaha kerajaan memperkukuh Akta Makanan 1983 demi memastikan kerangka keselamatan makanan negara kekal relevan dengan perkembangan teknologi, transaksi dalam talian serta penggunaan data digital masa kini.

Walau bagaimanapun, beliau memberi fokus khusus kepada Seksyen 8A baharu yang memberi kuasa kepada pegawai penguat kuasa untuk mengakses maklumat rekod, data berkomputer dan data digital berhubung pengenalan, pengimportan serta pengilangan makanan.

Beliau menjelaskan bahawa peruntukan sedemikian bukanlah perkara baharu dalam perundangan negara, kerana akta lain seperti Seksyen 126B Akta Perlindungan Pengguna 1999 telah sedia memberikan kuasa akses berasaskan standard sebab yang munasabah untuk mengesyaki (reasonable cause to suspect).

“Saya tidak berhasrat mempertikaikan kewujudan kuasa tersebut semata-mata, namun persoalan utama ialah bagaimana kuasa yang luas ini akan diterjemahkan kepada penguatkuasaan yang konsisten, terarah, dan mempunyai safeguard yang mencukupi,” katanya semasa menyertai perbahasan di Dewan Rakyat.

Roy membangkitkan persoalan berhubung ambang (threshold) yang digunakan oleh pegawai untuk menentukan wujudnya ‘sebab yang munasabah bagi mengesyaki’ (reasonable suspicion) di bawah Seksyen 8A(2), serta meminta kepastian sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyediakan SOP rasmi bagi memastikan tafsiran seragam di seluruh negara.

Di samping itu, beliau menyoroti isu kaitan (nexus) antara data yang diakses dengan tujuan siasatan di bawah Seksyen 8A(3) dan 8A(4) yang merangkumi pemberian kata laluan, kod penyulitan serta perisian peranti.

Beliau menegaskan bahawa dalam sistem digital masa kini, sesebuah komputer atau pelayan (server) jarang sekali mengandungi satu jenis maklumat sahaja, sebaliknya turut menyimpan data sulit lain seperti maklumat pelanggan, rekod kewangan, maklumat pekerja, akaun pembekal dan strategi perniagaan yang tiada kaitan dengan siasatan keselamatan makanan.

“Kuasa mencari bukti tidak sepatutnya secara automatik menjadi akses tanpa sempadan kepada keseluruhan sistem digital sesebuah organisasi. Kita mesti memberi pegawai kuasa mendapatkan apa yang diperlukan untuk siasatan berkesan, tetapi pada masa yang sama memastikan data yang tidak berkaitan tidak diambil,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta KKM memperjelas mekanisme kawalan terhadap data selepas ia diperolehi, merangkumi had masa penyimpanan, kawalan pihak yang boleh mengakses, rekod audit (audit trail), serta tata cara pelupusan data yang tidak berkaitan.

Roy menegaskan bahawa isu utama kini bukan sekadar kuasa untuk mendapat akses, tetapi disiplin dan had tata cara penggunaan akses tersebut demi melindungi hak kerahsiaan maklumat perniagaan.

Sambil mengulangi sokongan penuh beliau terhadap RUU Makanan (Pindaan) 2026, beliau berharap penjelasan serta jaminan daripada pihak Kementerian akan dapat memastikan penguatkuasaan dijalankan secara berkesan tanpa menjangkaui skop siasatan yang sepatutnya.