Laksana Penguatkuasaan Adil, Perlindungan Data Digital Dan Pemantapan Makmal Di Sarawak: YB Betong

Laksana Penguatkuasaan Adil, Perlindungan Data Digital Dan Pemantapan Makmal Di Sarawak: YB Betong

Penyelarasan rasmi perlu dibuat bersama Kerajaan Sarawak, Pejabat Peguam Besar Negeri (SAG), dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Perkara 79 Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan pertindihan kuasa

SHARE

KUALA LUMPUR — Pelaksanaan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Makanan 2026 perlu mengimbangi pengetatan undang-undang dengan penguatkuasaan yang adil, berpada, serta disokong oleh kemudahan fasiliti ujian makmal yang lengkap di wilayah Sarawak.

Ahli Parlimen Betong, YB Dr. Richard Rapu berkata, beliau menyambut baik dan menyokong penuh usaha kerajaan memperkukuh Akta Makanan 1983 memandangkan lanskap pengeluaran, pembungkusan, jualan, dan pengiklanan makanan telah berubah pesat merentasi platform digital.

Walau bagaimanapun, beliau mengemukakan beberapa isu utama yang memerlukan perhatian dan penjelasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi melindungi hak pengguna serta kelangsungan peniaga.

Berhubung Seksyen 8A yang memberi kuasa kepada pegawai untuk mengakses data berkomputer dan kata laluan, beliau meminta agar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas diwujudkan bagi memastikan setiap akses direkod dan diaudit demi melindungi rahsia perdagangan, formulasi produk, dan data peribadi pelanggan.

Di samping itu, beliau menyambut baik kewajipan menarik balik makanan berisiko di bawah Seksyen 13C dan mengesyorkan diwujudkan portal penarikan balik (recall) kebangsaan yang mengandungi maklumat lengkap nama produk, gambar, nombor batch, sebab penarikan, dan tindakan susulan yang boleh dicapai dengan mudah oleh pengguna.

Bagi peniaga kecil dan mikro (PMKS) di luar bandar yang masih menggunakan kaedah pembungkusan serta pemprosesan tradisional, beliau menggesa agar penguatkuasaan dijalankan berasaskan tahap risiko dan saiz perusahaan menerusi penyediaan bimbingan, tempoh penyelarasan, dan bantuan teknikal berbanding tindakan hukuman terus.

Beliau turut menekankan keperluan membuat perbezaan yang jelas antara perbuatan sengaja membahayakan pengguna, kecuaian serius, dan kesalahan teknikal yang boleh diperbetulkan sebelum mengenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun.

Dalam pada itu, Dr. Richard memohon kejelasan kriteria berhubung Fasal 26 mengenai anggaran jumlah makanan yang dibawa masuk melebihi had untuk kegunaan peribadi, dengan mengambil kira saiz isi rumah, corak perjalanan, serta amalan masyarakat sempadan di Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan mahupun Thailand.

Beliau juga menggesa agar penyelarasan rasmi dibuat bersama Kerajaan Sarawak, Pejabat Peguam Besar Negeri (SAG), dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Perkara 79 Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan pertindihan kuasa dan perbezaan prosedur di peringkat daerah.

Bagi memantapkan kapasiti ujian makmal tempatan, beliau mencadangkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, universiti tempatan, dan makmal bertauliah di Sarawak dan Sabah bagi mempercepat proses analisis ujian migrasi bahan kimia daripada pembungkus tanpa perlu bergantung kepada makmal di Semenanjung.

“Kejayaan RUU ini bukan sekadar pada tingginya nilai denda, tetapi sejauh mana makanan berbahaya dapat dikesan lebih awal, ditarik balik dengan cepat, dan pihak yang benar-benar bertanggungjawab dikenakan tindakan. Kita mahu undang-undang yang tegas, tetapi pada masa yang sama adil dan boleh dilaksanakan,” kata beliau semasa menyertai perbahasan di Dewan Rakyat.