YB PUNCAK BORNEO TEGASKAN TIGA FOKUS UTAMA DEMI INTEGRITI DAN KETELUSAN SUKAN NEGARA

YB PUNCAK BORNEO TEGASKAN TIGA FOKUS UTAMA DEMI INTEGRITI DAN KETELUSAN SUKAN NEGARA

Beliau menekankan pentingnya penetapan sempadan kuasa yang jelas antara Menteri, Pesuruhjaya Sukan, dan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Ini bagi mengelakkan pertindihan kuasa serta memastikan proses siasatan, hak untuk didengar (right to be heard)

SHARE

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Puncak Borneo secara prinsipnya menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 semasa sesi perbahasan Bacaan Kali Kedua di Dewan Rakyat. Beliau menegaskan bahawa penambahbaikan ecoculture dan ekosistem sukan negara memerlukan tatakelola yang lebih telus, adil, dan berkesan.

Dalam ucapan perbahasannya, YB Puncak Borneo telah membangkitkan tiga perkara utama untuk perhatian pihak Kerajaan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS):

  1. Kejelasan Sempadan Kuasa Membatalkan Pendaftaran Badan Sukan

Beliau memohon kejelasan mengenai kuasa Menteri dalam mengisytiharkan atau membatalkan pendaftaran sesuatu badan sukan, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat negeri seperti Persatuan Olahraga Sarawak. Walaupun bersetuju tindakan tegas perlu diambil terhadap persatuan yang melakukan kesalahan serius, beliau menekankan pentingnya penetapan sempadan kuasa yang jelas antara Menteri, Pesuruhjaya Sukan, dan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Ini bagi mengelakkan pertindihan kuasa serta memastikan proses siasatan, hak untuk didengar (right to be heard), prosedur undang-undang yang adil (due process), dan mekanisme rayuan dilaksanakan dengan saksama.

  1. Semakan Had Umur Atlet Para SUKMA Berasaskan Prestasi

Mengenai kriteria kelayakan atlet Para SUKMA, beliau mencadangkan agar faktor umur tidak dijadikan satu-satunya ukuran utama. Jika seseorang atlet yang berusia 45, 46, atau 50 tahun masih berada dalam keadaan sihat, memenuhi klasifikasi, mempunyai tahap kecergasan yang baik, serta melepasi piawaian prestasi, mereka wajar diberi ruang dan peluang untuk terus bertanding. Tambah beliau, atlet senior ini mempunyai pengalaman bernilai tinggi yang boleh bertindak sebagai mentor kepada generasi muda.

  1. Penubuhan Makmal Antidoping Kebangsaan dan Kawalan Sampel

YB Puncak Borneo turut menyuarakan kebimbangan mengenai kebergantungan Malaysia kepada makmal antidoping luar negara yang diakreditasi oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA). Bagi menjamin keselamatan logistik, tempoh penghantaran, dan rantaian kawalan keselamatan (chain of custody), beliau mencadangkan agar Kerajaan mengkaji penubuhan Makmal Kawalan Doping Kebangsaan (National Doping Control Laboratory) yang diakreditasi WADA di Malaysia. Sebagai langkah interim, beliau mengesyorkan pembinaan pusat pengumpulan dan penyimpanan sampel berkeselamatan tinggi yang dilengkapi pelekat keselamatan (tamper-evident sealing), CCTV, kawalan akses, dan rekod digital bagi mengelakkan risiko sabotaj sampel semasa dalam perjalanan.

Mengakhiri perbahasannya, YB Puncak Borneo berharap agar ketiga-tiga syor ini diberi perhatian serius oleh pihak Kementerian demi memastikan industri sukan tanah air bukan sahaja berprestasi tinggi, malah ditadbir secara inklusif, adil, dan berintegriti tinggi dari peringkat gelanggang hingga ke makmal.