KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Igan telah membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, dengan menumpukan perhatian kepada pelbagai isu pembangunan sosioekonomi, kebajikan rakyat, serta penambahbaikan infrastruktur pendidikan dan perkhidmatan awam di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Dalam perbahasan tersebut, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peningkatan peruntukan kepada Sarawak sebanyak RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion pada tahun 2026. Peruntukan keseluruhan bernilai RM461.84 bilion di bawah RUU Perbekalan 2027 ini diharapkan dapat diterjemahkan kepada pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Fokus utama perbahasan beliau turut menyentuh isu kritikal berkaitan sektor pendidikan di kawasan luar bandar, termasuk permohonan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menilai semula status sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro. Empat sekolah kategori P1 dicadangkan kehilangan status pedalaman iaitu SK Semop, SK Mohamad Redeh Saai, SK Kampung Kut Daro, dan SMK Semop, manakala empat sekolah kategori P2 dicadangkan diturunkan kepada P1 iaitu SK Salah Kechil, SK Kampung Penibong, SK Kampung Tekajong, dan SK Kampung Bruit. Di samping itu, beliau mengetengahkan isu kekurangan guru pendidikan khas dan kesesakan bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang memerlukan tambahan sekurang-kurangnya 11 kelas baharu melibatkan sekolah seperti SK Abang Gesa, SMK Matu, SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah Daro, SMK Semop, SK Bawang Tian, dan SK Hijrah Badong.
Beliau turut membangkitkan isu keselamatan pendawaian elektrik sekolah susulan tragedi yang mengorbankan seorang murid asrama di SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah, Daro pada Mei 2026. Beliau menggesa KPM mempercepatkan audit keselamatan elektrik secara berperingkat mulai suku ketiga tahun 2026, serta menetapkan garis masa yang jelas bagi pemeriksaan kritikal dan pembaikan sistem pendawaian di sekolah-sekolah terbabit.
Selain itu, taraf perkhidmatan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di kawasan luar bandar turut dibahaskan secara mendalam. Beliau menggesa kerajaan melalui JAKIM untuk mempercepatkan usaha menaik taraf status perkhidmatan guru KAFA menerusi skim lantikan tetap yang berstruktur, mengkaji semula kadar elaun bulanan agar seiring dengan kos sara hidup (termasuk merujuk kepada peruntukan tambahan elaun yang diterima guru KAFA di Sarawak), serta memperkenalkan dana khas tahunan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah luar bandar.
Pada penghujung perbahasan, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak yang berlaku pada 8 September 2026. Beliau berharap agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini, di samping menegaskan agar segala isu yang dibangkitkan mendapat perhatian serius dan tindakan segera daripada pihak kerajaan serta kementerian berkaitan.















