YB Puncak Borneo Gesa Ketelusan Peruntukan dan Perkasakan Pembangunan Luar Bandar Sarawak

YB Puncak Borneo Gesa Ketelusan Peruntukan dan Perkasakan Pembangunan Luar Bandar Sarawak

Kejayaan Belanjawan 2027 bukannya diukur pada angka peruntukan, sebaliknya sejauh mana manfaatnya dapat merapatkan jurang pembangunan serta meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak.

SHARE

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Puncak Borneo, YB Datuk Willie Anak Mongin, telah mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, dengan memberikan fokus utama terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ketelusan peruntukan persekutuan, serta keperluan infrastruktur asas di kawasan pedalaman Sarawak.

Mengulas mengenai hala tuju fiskal negara, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelbagai inisiatif di bawah Belanjawan 2027 yang merangkumi kenaikan gaji minimum, pemerkasaan TVET, serta pembangunan ekonomi dan kesihatan. Namun begitu, beliau menekankan pentingnya keberkesanan penyampaian peruntukan tersebut kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Namun, kejayaan sesebuah belanjawan bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi sejauh mana wang tersebut sampai kepada rakyat, merapatkan jurang pembangunan, dan meningkatkan taraf hidup mereka,” tegas beliau.

Menyentuh isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau menyambut baik peningkatan kadar interim Pemberian Khas kepada Sarawak. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa hak Sarawak di bawah perjanjian sejarah itu merangkumi skop yang jauh lebih luas daripada sekadar aspek pembiayaan kewangan.

“Pelaksanaan MA63 tidak boleh disempitkan kepada pemberian khas semata-mata. MA63 turut melibatkan kedudukan perlembagaan, pembahagian kuasa, otonomi pentadbiran, dan hak yang menjadi asas pembentukan Malaysia,” ujar beliau lagi.

Dalam perbahasan yang sama, YB Puncak Borneo turut membangkitkan isu perimbangan peruntukan wilayah apabila mendapati anggaran agihan peruntukan pembangunan masih belum memihak secara seimbang kepada wilayah Borneo.

“Daripada pengiraan saya daripada setiap belanjawan yang diumumkan setiap tahun, lebih kurang 20 peratus sahaja untuk Sabah dan Sarawak, dan 80 peratus untuk Semenanjung. Adalah amat penting untuk kita melihat perkara ini dan jumlah sebenar yang didapati,” katanya.

Beliau turut mendesak agar setiap kementerian menerbitkan dashboard pelaksanaan belanjawan yang memaparkan peruntukan sebenar, kemajuan projek, serta audit impak. Berhubung peruntukan bagi kawasan Puncak Borneo, beliau menekankan bahawa penduduk tempatan mahukan pelaksanaan fizikal yang nyata bagi projek yang telah diluluskan.

“Kami bukan sekadar mahu mendengar bahawa projek telah ditender. Kami mahu melihat projek dilaksanakan, disiapkan mengikut jadual, dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat dan penduduk Puncak Borneo,” desak beliau.

Selain itu, beliau menyentuh pembangunan modal insan dan peluang pendidikan untuk anak-anak tempatan. Beliau menggesa agar latihan dan penajaan tajaan JPA diperluaskan ke dalam bidang teknologi tinggi dan masa depan, bukannya kursus berkualiti rendah.

“Anak-anak Sarawak dan Sabah berhak mendapat peluang dalam bidang berteknologi tinggi, bukan sekadar peluang pendidikan tanpa laluan kerjaya yang jelas… Kita tidak mahu program-program dan kursus-kursus yang cincai-cincai,” tambahnya.

Di samping itu, beliau mencadangkan agar Puncak Borneo dibangunkan sebagai pusat penanaman Kopi Liberica Nasional bagi mengurangkan kebergantungan import negara, memohon perluasan bas bersubsidi Madani, serta penaiktarafan menara telekomunikasi JENDELA di pelbagai perkampungan luar bandar. Dalam aspek kesihatan, beliau mengalu-alukan perolehan ambulans baharu dan insentif khas petugas perkhidmatan udara, sambil menggesa penubuhan Skim Perlindungan Tugas Risiko Tinggi bagi menjamin kebajikan waris petugas kesihatan susulan tragedi nahas helikopter FDS di Long Lellang.