KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menegaskan bahawa kerajaan buat masa ini tidak mempunyai cadangan untuk menggubal satu Akta Perpaduan Negara yang khusus bagi menangani isu sensitif berkaitan Raja-Raja, agama, dan kaum (3R).
Menurut Menteri Perpaduan, YB Datuk Aaron Anak Dagang, kerajaan melihat kerangka perundangan sedia ada di bawah bidang kuasa pelbagai kementerian dan agensi masih mencukupi dan memadai untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan isu 3R, terutamanya dalam era media sosial.
Penjelasan itu dizahirkan bagi menjawab soalan lisan daripada Ahli Parlimen Puncak Borneo, YB Datuk Willie anak Mongin, yang membangkitkan persoalan penting mengenai langkah kementerian dalam memperkukuh perundangan bagi menangani isu sensitif tersebut.
Dalam sesi soalan tambahannya di Dewan Rakyat, YB Datuk Willie anak Mongin mendesak kementerian memperincikan usaha membendung polemik perpaduan di peringkat akar umbi dan institusi pendidikan:
“Baru-baru ini saya didatangi oleh seorang guru yang mengatakan bahawa YB sekarang ini sukar untuk mendidik anak-anak… Ada yang sampai tidak mahu duduk sebelah-meny sebelah dengan anak Kristian dengan anak Muslim… Jadi kalau perkara ini tidak dibendung di peringkat sekolah rendah, ia akan menular dan menjadi satu yang serius. Apakah langkah kementerian untuk memperkukuhkan literasi digital, pemikiran kritis, dan gilapkan semangat toleransi di peringkat golongan muda?”
Pendekatan Holistik dan Penguatkuasaan Sedia Ada
Menjawab kebimbangan tersebut, pihak kementerian menjelaskan bahawa pendekatan menyeluruh (whole-of-government approach) diguna pakai bersama agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta Kementerian Dalam Negeri. Antara peruntukan perundangan sedia ada yang terus dikuatkuasakan dengan tegas termasuklah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Selain penguatkuasaan undang-undang, KPN terus mempergiatkan program intervensi sosial bagi membina keharmonian masyarakat. Ini termasuklah memperkasakan peranan pusat perpaduan seperti Pusat NADI di seluruh negara untuk literasi digital beretika, memperluas rangkaian mediator komuniti bagi menyelesaikan pertikaian setempat secara aman, serta melaksanakan program integrasi nasional seperti Kembara Perpaduan Malaysia, Jelajah Perpaduan Rukun Negara, dan Wacana Perpaduan.
Kerajaan komited memastikan usaha memupuk perpaduan dan memelihara keharmonian kaum di Malaysia digerakkan secara berterusan menerusi gandingan penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta pendekatan mendidik masyarakat dari peringkat awal.















