KUALA LUMPUR – Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah melaksana dan menyempurnakan audit keselamatan komprehensif ke atas operator helikopter terbabit susulan insiden nahas tragis di Long Lellang, Ulu Baram baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan menjelaskan perkara berkenaan bagi menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Betong, YB Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri di Dewan Rakyat, yang memohon penjelasan rasmi berhubung tarikh audit keselamatan, surveillance audit, dan pemeriksaan terakhir CAAM ke atas operator helikopter tersebut, serta status penemuan keselamatan yang belum ditutup sebelum insiden berlaku.
Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa audit keselamatan terkini telah diselesaikan secara menyeluruh merangkumi aspek kebolehterbangan pesawat (airworthiness), standard penyelenggaraan, kelayakan jurutera, serta kriteria keselamatan penerbangan operator. Langkah ini diambil bagi memastikan penemuan audit teknikal diteliti secara terperinci demi menjamin standard keselamatan perkhidmatan penerbangan awam, terutamanya perkhidmatan udara ke kawasan pedalaman Sarawak.
Dalam sesi soalan tambahan, YB Dato Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri mendesak Kementerian Pengangkutan agar memastikan tiada sebarang kompromi dari segi keutamaan keselamatan dan prosedur penyelenggaraan fleet penerbangan udara:
“Memandangkan perkhidmatan udara di pedalaman Sarawak seperti Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dan penerbangan laluan luar bandar (RAS) merupakan nadi perhubungan kritikal bagi penduduk tempatan, apakah langkah konkrit yang diambil oleh Kementerian dan CAAM bagi memastikan semua dapatan audit ditutup sepenuhnya, serta jaminan bahawa aset udara yang beroperasi berada pada tahap kebolehterbangan terbaik sebelum dibenarkan berkhidmat semula?”
Menjawab pertanyaan tersebut, Kementerian Pengangkutan memberi jaminan bahawa CAAM akan memastikan setiap syarikat operator mematuhi garis panduan keselamatan penerbangan secara ketat. Sebarang dapatan audit yang belum ditutup akan dipantau rapi dan wajib diselesaikan mengikut standard piawaian antarabangsa sebelum sebarang lesen atau kebenaran penerbangan disambung, demi keselamatan penumpang dan petugas barisan hadapan.















