KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mempamerkan syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak Kali Ketujuh bermula 1 hingga 30 September 2026 yang lalu, mengambil kira pertambahan sebanyak 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang telah diluluskan oleh DUN Sarawak.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat pada Selasa, 20 Oktober 2026, bagi menjawab soalan lisan daripada Ahli Parlimen Batang Lupar, Tuan Mohamad Shafizan Haji Kepli.
Menerusi jawapan rasmi yang dikemukakan, YB Dato’ Sri Azalina memaklumkan bahawa sepanjang tempoh pameran berkenaan dijalankan, pihak SPR telah menerima sejumlah 133 representasi daripada pelbagai pihak berkepentingan. Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 126 representasi adalah berbentuk bantahan, manakala 7 lagi merupakan representasi sokongan terhadap syor yang dikemukakan.
Menjawab mengenai garis masa dan jangkaan pengakhiran proses tersebut, kerajaan menjelaskan bahawa SPR diberikan tempoh selama dua tahun untuk menyiapkan kajian berkenaan. Tempoh ini dikira bermula dari tarikh tersiarnya notis rasmi di bawah Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan iaitu pada 1 September 2026, sehinggalah laporan akhir kajian tersebut dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 10, Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.















