KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Ahli Parlimen Puncak Borneo bangkit mencelah bagi membangkitkan isu perlindungan komoditi tempatan. Beliau memohon penjelasan lanjut daripada kementerian mengenai sempadan pintu masuk antarabangsa, khususnya di sempadan negeri Sarawak, agar diperhebatkan dari segi aspek keselamatan dan pengimbasan (scanning) terhadap produk-produk luar negara yang dibawa masuk. Menurut beliau, langkah ini penting bagi membolehkan pihak kastam memperkukuhkan kawalan terhadap kemasukan komoditi dari luar.
Dalam celahan yang sama, YB Puncak Borneo turut mengemukakan soalan tambahan dan maklumat kritikal berhubung kemasukan biji-biji koko dan lada dari negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai “lada Sarawak”. Beliau menegaskan bahawa tindakan ini sedikit sebanyak menguris kualiti serta jenama lada Sarawak itu sendiri memandangkan kualiti produk luar negara tersebut tidak menyaingi standard lada asli Sarawak, sekali gus mendesak kementerian segera menjalankan siasatan menyeluruh.
Selain itu, beliau turut menyentuh isu tenaga kerja dalam sektor sawit dan merakamkan tahniah kepada pihak kementerian serta Menteri Perladangan dan Komoditi di atas kejayaan pengiktirafan sijil MSPO oleh pihak Kesatuan Eropah (EUDR) – satu perjuangan yang disifatkannya telah lama diusahakan sejak zaman beliau di kementerian dahulu. Walau bagaimanapun, beliau menyokong pandangan bahawa kekurangan tenaga buruh dalam sektor perladangan masih kritikal kerana walaupun mekanisasi seperti mesin cantas dan penuai digunakan, industri ini tetap berurusan dengan tenaga manusia. Beliau memberikan analogi perbandingan produktiviti di mana pekerja manual mampu mencapai sasaran 3 tan sehari dalam masa 8 jam, manakala penggunaan mesin cantas membolehkan pekerja meraih 8 tan dalam masa hanya 2 jam, namun mesin tersebut akan berhenti bekerja sebaik sahaja sasaran tercapai tanpa meneruskan tuaian. Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa tatacara serta perwatakan pekerja tidak boleh diubah sepenuhnya hanya kerana peralihan kepada peralatan mekanisasi.
Menjawab celahan dan desakan tersebut, Menteri Perladangan dan Komoditi merakamkan ucapan terima kasih atas penghargaan yang diberikan berhubung pengiktirafan MSPO. Menteri turut memaklumkan bahawa pihak kementerian sedia maklum mengenai kes penyelewengan penggunaan “Sarawak Premium Pepper” di mana pihak penguat kuasa telah menjalankan tugas masing-masing, termasuklah membentangkan satu nota khusus mengenai isu berkenaan ke mesyuarat kabinet. Menjawab isu tenaga buruh dan isu-isu lain yang dibangkitkan, pihak menteri menegaskan komitmen kementerian untuk terus meneliti dan menangani permasalahan tersebut secara berterusan.















