Dewan Rakyat semalam menjadi saksi kepada satu gesaan bernas apabila Ahli Parlimen Batang Lupar membangkitkan isu perbekalan dan kos sara hidup yang mendesak bagi penduduk di kawasan luar bandar serta pedalaman Sarawak. Perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu menyentuh pelbagai cabaran sosioekonomi, khususnya berkaitan penyasaran subsidi bahan api dan akses kepada barangan keperluan asas.
Realiti Geografi Dan Beban Kos Di Luar Bandar Sarawak
Isu utama yang mendapat tumpuan adalah pelaksanaan penyasaran subsidi bagi bahan api petrol dan diesel yang bertujuan memastikan perbelanjaan negara diurus secara lebih cekap. Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Batang Lupar menegaskan bahawa mekanisme tersebut perlu diteliti semula dengan mengambil kira faktor geografi, tahap pembangunan infrastruktur, serta kebergantungan masyarakat luar bandar. Di kawasan pedalaman, terdapat perkampungan dan rumah panjang yang terletak jauh dari stesen minyak konvensional,memaksa penduduk bergantung kepada pembelian petrol dan diesel dalam botol di kedai-kedai runcit tempatan akibat ketiadaan pilihan lain.
“Realitinya orang-orang kampung tidak mempunyai pilihan lain. Oleh itu, kita perlu melihat kepada cara ataupun penyelesaian yang terbaik untuk menghalalkan penjualan diesel dan petrol di kedai-kedai runcit untuk kawasan-kawasan yang dikenal pasti terletak jauh daripada stesen minyak,” ujar beliau semasa berbahasan di Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, kementerian dicadangkan supaya mempertimbangkan mekanisme subsidi yang lebih fleksibel, termasuk memperluas kemudahan bekalan api bersubsidi melalui pengusaha yang berlesen, pusat pengedaran komuniti, atau kaedah lain yang tertakluk kepada kawalan serta pemantauan sewajarnya. Ini termasuklah cadangan mengeluarkan permit jualan kepada kedai-kedai runcit terpilih di kawasan terpencil yang dibekalkan dengan terminal pengesahan MyKad bagi mengelakkan sebarang ketirisan.
Memperkasa Program Jualan Rahmah Madani Demi Kesejahteraan Rakyat
Selain isu bahan api, perbahasan turut menyentuh inisiatif Program Jualan Rahmah Madani (PJMR) yang menjadi Harapan rakyat dalam mengurangkan beban kos sara hidup. Berdasarkan data Majlis Mesyuarat Negara, kadar kanak-kanak yang berdepan masalah kekurangan nutrisi dan stunted growth mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun, menjadikan akses kepada makanan berkhasiat seperti susu dan sumber protein pada harga patut sebagai satu keperluan mendesak.
“Bagi tahun 2027, saya ingin mencadangkan supaya program Jualan Rahmah Madani terus diperluas ke kawasan luar bandar dan penempatan terpencil secara lebih konsisten, terancang dan menyeluruh, termasuk melalui pelaksanaan jualan bergerak,” jelas Ahli Parlimen Batang Lupar.
Impak Ekonomi Tempatan Dan Langkah Seterusnya
Langkah memperkukuh kerjasama dengan pengusaha kedai runcit tempatan, koperasi, serta usahawan luar bandar bukan sahaja mampu memperluaskan jaringan pengedaran barangan keperluan asas, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada peniaga tempatan. Matlamat utama dasar ini adalah untuk memastikan setiap sen peruntukan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasar, terutamanya mereka yang tinggal di pedalaman Sarawak, agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara tanpa ada yang terpinggir.















